Wednesday, June 15, 2011

IKHLAS adalah PERISAI

"Berkata iblis: Ya Tuhanku, oleh karena Engkau telah menetapkanku sesat, sungguh akan aku usahakan agar anak manusia memandang indah segala yang ada di bumi dan aku akan sesatkan mereka semua....Kecuali hamba-hambaMu dari antara mereka yang ikhlas.........(Al-Hijr: 39-40).


KEIKHLASAN
Ramai yang tahu makna ikhlas secara am, namun terlalu banyak yang tersebunyi disebalik perkataan ringkas tersebut. Dalam bahasa kita ikhlas (arab) itu lebih hampir sengan makna "jujur" atau lebih mendalam lagi ialah "tulus". Namun ia tetap tidak setaraf dengan kata "ikhlas" tersebut.

Ikhlas sangat tinggi nilainya di sisi Allah swt. Mukhlisin adalah gelaran bagi setiap hamba yang ikhlas kepada Khaliknya. Nabi kita Muhammad SAW adalah manusia yang paling tinggi darjah keikhlasan dikalangan sekelian makhluk. Wajar kita mencontohi Baginda jika ingin selamat di dunia dan akhirat. Hanya amal yang ikhlas sahaja yang akan dinilai sebagai kebajikan dan selebihnya hanya hampas dan sia-sia.

Surat Al-Bayyinah ayat 5 menyatakan, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.”

Rasulullah saw. telah bersabda, “Ikhlaslah dalam beragama; cukup bagimu amal yang sedikit.”
Sabda Rasulullah saw lagi: "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dlaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan karena mengharap redha Allah semata". (HR. an-Nasai,dan Abu Dawud)

Iblis tidak mampu menggoda manusia ikhlas, jadi terselamatlah mereka dari api neraka. Untuk menjadi manusia ikhlas tidaklah semudah yang disangka. Paling sukar ialah pada peringkat permulaan dimana terlalu banyak yang terpaksa dikorbankan terutamanya ialah kenikmatan dan kemanisan hawa nafsu. Lihat soalan ke 18 Rasulullah saw kepada Iblis Laknatullah (dibawah).

"Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab Iblis - "Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Apakah maksud "bersedekah dengan tiada diketahui orang" ? Itulah intisari makna "ikhlas".

Ibn Athaa' Allah menyebut "Amal perbuatan itu sebagai suatu kerangka yang tegak lurus, sedangkan roh yakni jiwanya mengandungi rahsia ikhlas dalam amal perbuatann tersebut"

Keikhlasan sesaorang dalam amal perbuatan adalah mengikut tingkat kedudukannya. Sebagai contoh, ikhlas seorang Abrar tidak sama dengan ikhlas seorang Muqarrabin. Bagi golongan Abrar, amal perbuatan mereka terlepas dari segala riya' dan sam ah samaada yang jelas ataupun yang samar-samar. Tujuan amal mereka menuju kepada "pahala" yang dijanjikan Allah kepada hambaNya (yang ikhlas). Sesuai dengan ayat "Iyya ka na'budu" - Hanya kepadaMu kami menyembah (menghambakan diri) dan tidak sesekali kami mempersekutukan Engkau dalam ibadah kami.


Sementara keikhlasan golongan Muqarrabin pula sentiasa bersama dengan ungkapan "Laa Haula Walaa Quwwata Illa Billahi" Tiada daya upaya mengelak dari sesuatu dan tiada keupayaan untuk berbuat apa pun kecuali pertolongan langsung dari Allah. Segala amalan perbuatan mereka semata-mata kurniaan Allah.jua, tiada atas kekuatan dan kemampuan mereka sendiri. Hanya Allah pemberi hidayah dan Taufiq sesuai dengan ayat "Iyya ka nasta'iin" Hanya kepadaMu kami harapkan pertolongan dan bantuan. Kami tidak berdaya.
Katakanlah: “Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162).
Amalan orang Abrar dinamakan Amal "Lillah" Beramal kerana Allah semata-mata. Amal orang Muqarrabin, dinamakan Amall "Billah". Amalan dengan hanya dengan bantuan kurniaan Allah. Perincian tentang subjek ini memerlukan huraian yang panjang lebar dan ia tidak mampu dibentangkan disini. Cukuplah sekakar memberi keinsafan kepada para rakan agar melihat kembali sejauh mana kita ini telah sampai ke martabat manusia ikhlas dan panduan asas untuk menuju kesitu.

Mereka yang telah benar-benar berjaya memasuki wilayah ini akan sentiasa merendah diri dan berakhlak mulia. Mereka malu kepada Maha Pencipta walaupun hanya untuk meninggikan suara kepada sesama makhluk apatah lagi melakukan perbuatan yang menyakiti. Bila tersedar sebarang ketelanjuran (melebihi batas) segera mereka memohon keampunan tanpa tangguh dan sering mengucapkan terima kasih kepada makhluk serta syukur tak terhingga (sehingga berlinangan air mata) kepada Khaliknya.

Allah amat kasih kepada golongan ini dan setiap perbuatan, kata-kata dan niat mereka semua menjadi ibadah. Solat mereka terus diterima oleh Allah tanpa perlu tapisan. Manakala selain mukhlisin, solat mereka dikembalikan kepada pelaku sebagai satu tamparan kepada wajah mereka. Amat beruntung mereka di dunia, sentiasa tenang dan berserah diri kepada Allah. Redha terhadap segala musibah yang mereka hadapi. Di akhirat pula syurga khas disediakan untuk mereka yang kedudukannya lebih tinggi dari darjat orang-orang yang sabar.

Sebagai langkah mula mendekati arus keikhlasan seterusnya menuju ke martabat ikhlas sekurang-kurangnya menyertai kumpulan Abrar, kisah berkut boleh dijadikan pedoman. Iblis terus menyiapkan perangkap untuk memalingkan manusia dari perjalanannya kepada fitrah iaitu Hidup Ikhlas.
Allah swt telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya.

Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw.

Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras" Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu.

Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis(alaihi laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?"


Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau.

Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?" Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi pertama - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?" Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"

Soalan Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah" Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda drp emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."

Soalan Nabi ke 3 - "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah drp Tuhan Yang Maha Besar juga.

Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah.

Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh.

Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri(Siti Hawa) yg memerintah sekelian bidadari. Hamba bertanbah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil.

Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

Soalan Nabi ke 4 - "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?" Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Soalan Nabi ke 5 - "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya - matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"

Soalan Nabi ke 6 - "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?" Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."

Soalan Nabi ke 7 - "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"

Soalan Nabi ke 8 - "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kpd hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."

Soalan Nabi ke 9 - "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar- besar seteru hamba.

Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar.

Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kpdnya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10 - "Bagaimana tipudaya engkau kpd umatku?" Jawab Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kpd dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"

Soalan Nabi ke 11 - "Siapa yang serupa dengan engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam"

Soalan Nabi ke 12 - " Siapa yang mencahayakan muka engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"

Soalan Nabi ke 13 - "Apakah rahsia engkau kepada umatku?" Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"

Soalan Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."

Soalan Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?" Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kpd Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."

Soalan Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?" Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"

Soalan Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"

Soalan Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab Iblis - "Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Soalan Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"

Soalan Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang taat kpd kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup"


Mari kita imbas satu peristiwa sebagai pengajaran dan pedoman:
Pemuda Ahli Syurga:

Rasulullah saw menatap satu persatu para sahabat yang sedang berkumpul dalam satu majlis, hening dan tawadhu. Tiba-tiba terdengar satu suara memecah keheningan, “Ya Rasulullah”. Semua hadirin memberikan perhatian.

“Sekiranya pertanyaanku ini tidak menimbulkan kemurkaan Allah, sudilah engkau menjawabnya”.

“Apa yang hendak engkau tanyakan itu”, Rasulullah saw bertanya kembali dengan nada suara yang begitu lembut.

Dengan sikap yang agak tegang sahabat itupun langsung bertanya: “Siapakah diantara kami yang akan menjadi ahli surga?”

Secara tiba-tiba, bagai petir menyambar, jiwa-jiwa yang tadinya tawadhu, menyentap ketenangan, terhiris luka karena murka terhadap pertanyaan yang keterlaluan itu. Pertanyaan tadi sesungguhnya luar biasa dan dianggap tidak wajar. Sungguh keterlaluan, setengah sahabat menilainya mengandung ujub (bangga atas diri sendiri) atau riya’. Seperti biasa dengan sikapnya, Umar Ibn Khattab ra yang terlebih dahulu bertindak, bangkit untuk menghardik sahabat yang bertanya. Rasulullah saw menoleh ke arahnya sambil memberi isyarat supaya menahan diri.

Rasulullah saw menatap ramah, beliau dengan tenangnya menjawab:
“Engkau lihatlah ke pintu, sebentar lagi orangnya akan muncul”.

Setiap pasang mata menoleh ke ambang pintu dengan penuh debaran, dan setiap pula hati bertanya-tanya, siapakah gerangan "orang hebat" yang di sebut oleh Rasulullah saw sebagai AHLI SYURGA itu.

Seketika masa berlalu akhirnya orang yang mereka tunggu itu pun muncul. Setiap wajah kehairanan. Terpegun dan hampir tidak percaya. Setelah orang itu mengucapkan salam kemudian menggabungkan diri ke dalam majlis, kehairanan mereka semakin bertambah. Sesungguhnya mereka ragu dengan apa yang telah mereka saksikan.

Terdapat kebingungan dan keliru, masakan kata-kata baginda itu suatu yang tidak benar, tetapi jawapan yang diberi oleh Rasulullah saw itu kelihatan amat tidak sesuai dengan apa yang mereka sangkakan.

Manusia yang masuk sebentar tadi itu tidak lebih dari seorang pemuda serba sederhana yang tidak pernah muncul di permukaan. Dalam istilah kemelayuan ia amat sesuai dengan ungkapan "umpama melukut di tepi gantang".

Ia adalah satu wajah yang tidak pernah mengangkat kepala bila tidak ditanya dan tidak pernah bersuara bila tidak diminta. Ia bukan pula termasuk dalam senarai sahabat terdekat Rasulullah saw.

Sungguh membingungkan hadirin. Apa kehebatan pemuda ini?


Setiap hati menunggu penjelasan dari baginda Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda:



“Setiap gerak-geri dan langkah perbuatannya hanya ia ikhlaskan semata-mata mengharapkan redha Allah. Itulah yang membuat Allah menyukainya”.

Betapa tinggi nilai ikhlas dalam amal perbuatan seseorang, sehingga Rasulullah saw menyebutkannya sebagai salah satu syarat untuk menjadiahli syurga. Kedudukan ikhlas di dalam Islam sememangnya sangat diutamakan, hanya ikhlas dianggap sebagai ukuran amal seseorang kepada Allah SWT .

Allah berfirman:


"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (ikhlas) kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan meunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus". (maksud Al Bayyinah: 5)

"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan ?" (An-Nisa’: 125)


Perosak Ikhlas:

Riya’, yang berarti memperlihatkan perbuatan amalan apa sahaja terutamanya ibadah kepada Allah dengan tujuan dilihat oleh manusia, supaya memujinya.


Sam’ah, menceritakan kebaikan diri dan segala amalan termasuk memuji diri sendiri. Merasa bangga serta suka membesarkan segala ibadah yang dilakukan, yang berarti beramal dengan tujuan untuk didengar oleh orang lain (mencari populariti).


'Ujub, merasa takjub di dalam hati terhadap amal.dan kehebatan diri, walaupun sentiasa menyembunyikan amalannya. Kategori riya’ yang halus. masih menyekutukan Allah dengan diri sendiri.

Wallahu A'lam

Tiada hadiah yang lebih berharga daripada nasihat yang baik.

Dalam hidup ini, sebarang keadaan yang kita temui adalah kurang penting, yang paling penting ialah arah yang kita tujui.



© 2011 Created by Pencacai Dhoif.


Icon




















Thursday, June 9, 2011

Kelebihan Bulan Rejab

Bulan-bulan hijrah datang dan pergi tanpa disedari. Hanya Ramadan dan Syawal sahaja yang kebanyakkan kita sedar kedatangannya. Berikut adalah himpunan kelebihan-kelebihan bulan Rejab yang boleh dimanafaatkan oleh umat islam dengan memperbanyakkan ibadah.
01. Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.
02. Sabda Nabi s.a.w.: Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadan bulan umatku.
03. Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Syaaban dengan malam NISFUnya dan Ramadan dengan LAILATUL QADARnya.
04. Malam awal Rejab mustajab do'anya. ( Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)
05. Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.
06. Puasa 3 hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).
07. Puasa 4 hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.
08. Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur. Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercaya muka.
09. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.
10. Puasa 8 hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.
11. Puasa 9 hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH, maka tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
12. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.
13. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
14. Puasa 19 hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.
15. Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
16. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala Qalam.
17. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.
18. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.
19. Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.
20. Setiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali. Bulan Rejab bulan Allah.
21. Bersedekah pada bulan Rejab, dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah.
22. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad. Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka!
23. Barangsiapa meminta ampun (beristighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.
24. Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya: ‘Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggianKu dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu di bawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antara kau'.(dari kitab Raudatul Ifkar)
25. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.
Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.
Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun. Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.
REJAB bulan menabur benih. SYAABAN bulan menyiram tanaman. RAMADAN bulan menuai.
REJAB menyucikan badannya. SYAABAN menyucikan hatinya. RAMADAN menyucikan rohnya
REJAB bulan taubat. SYAABAN bulan muhibbah. RAMADAN dilimpahi pahala amalan.

Beramallah menurut kemampuan masing-masing, jika tidak dapat melaksanakannya janganlah ditinggalkan semuanya.

RENUNG - RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL

Wednesday, March 16, 2011

10 Pentanda Dia Jodoh Kita (^_^)


Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya. 

+ Ditulis oleh Hj Abdul Samad: Hj Abdul Samad Feel free to copy/share. Don't ask

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7) Gunakan seluruh panca...indera

Monday, March 14, 2011

.: Perkara Ajaib Tersembunyi di Dalam Minda :.

Apakah anda bersetuju jika saya katakan terdapat banyak perkara ajaib tersembunyi di dalam minda?

1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda

Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda

Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda.

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi

Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya

Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah.

Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhka n, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama

Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa

Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.

Dipetik daripada buku “Membina Imaginasi Cemerlang”, ms 123-126.

Thursday, February 24, 2011

Allah Merahsiakan Enam Perkara Pada Enam Hal

Ace



Nak kongsi sebab sangat menarik!

Sayyidina Umar bin Al-Khatab r.a berkata :

"Sesungguhnya Allah Ta'ala mwnyembunyikan enam perkara di dalam enam hal, iaitu :
Merahsiakan redha-Nya di dalam perbuatan taat,
Menyembunyikan kemarahan-Nya di dalam perbuatan maksiat,
Menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan,
Merahsiakan wali-waliNya di tengah-tengah manusia,
Menyisipkan kematian di sepanjang umur,
Menyembunyikan solat Wustha di dalam solat lima waktu."


Keredhaan dalam ketaatan :

Maksudnya agar manusia bersungguh-sungguh di dalam mengerjakan semua ketaatan denganharapan dapat menemukannya. Kita tidak boleh menghina ketaatan atau amal soleh, sekalipun sangat kecil dan nampak remeh temeh, kerana barangkali keredhaan Allah ada di dalamnya.


Kemurkaan Allah di dalam kemaksiatan :

Maksudnya agar manusia menjauhi kemaksiatan. Kita tidak boleh mengambil ringan kemaksiatan, sekalipun sangat kecil, kerana di dalamnya terdapat kemurkaan Allah.


Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan :

Maksudnya agar manusia bersungguh-sungguh menghidupkan semua bulan Ramadhan dengan beribadah, kerana pahala sunah pada bulan ramadhan ini seperti pahala fardhu pada bulan yang lain. Hal tersebut seperti terdapat pada hadis. untuk lebih detail, di bawah ini dikemukakan beberapa dalilnya :

{Dalam satu riwayat yang berasal dari Nabi s.a.w disebutkan bahawa shuhuf Nabi Ibrahim a.s diturunkan oleh Allah SWT pada awal bulan Ramadhan, kitab Taurat pada hari keenam bulan Ramadhan, kitab Zabur pada hari kedua belas, kitab Injil pada hari ketiga belas dan kitab suci Al-Quran diturunkan pada hari kedua puluh empat bulan Ramadhan (Durratun Nashihin : 7) Ini menunjukkan bahawa kerana turunnya kitab-kitab tersebut pada bulan Ramadhan, maka Allah pun mengistimewakannya pula dengan kewajipan berpuasa pada bulan itu.

Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat, berkah dan maghfirah. Maka barangsiapa yang tidak bermohon ampun pada bulan ini ia akan tergolong kepada orang-orang yang terpedaya dan tertipu, pada bulan Ramadhan itu terkumpul segala kebaikan, ibadah akan diterima, doa akan dikabulkan, dosa-dosa akan diampuni dan syurga terbuka bagi mereka yang baik-baik.

Ulama lain berpendapat bahawa malam Lailatul Qadar bererti malam yang memiliki darjat, martabat, harga diri dan nilai yang tinggi sebab malam itu diturunkan al-Qurqn kali yang pertama dan turun juga para malaikat, keberkatan, rahmat serta maghfirah di samping pula orang yang berjaya menghidupkan malam itu akan memperolehi darjat dan martabat yang tinggi daripada Allah SWT yakni pahalanya disamakan dengan beramal selama seribu bulan. Di dalam tafsir al-Mushaf ai-Muyassar mukasurat 815 disebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan Qadr pada ayat tersebut ialah keagungan, kemuliaan dan kedudukan yang tinggi.

Imam Ahmad dan Muslim telahpun meriwayatkan satu hadis dari Ibnu Mas;ud yang menerangkan tentang tanda turunnya malam Lailatul Qadr. Dijelaskan salah satu tandanya ialah :

Matahari terbit pada pagi harinya putih bersih tanpa sinar yang memancar, tidak terasa panas dan juga tidak terasa dingin, melainkan udaranya segar dan bulan pada malam itu sangat terang bercahaya.

Mengikut riwayat Ibnu Khizaimah dari Ibnu Abbas r.a :

Udaranya bersih, tidak panas, dan tidak pula dingin, pagi harinya matahari berwarna merah tetapi agak lemah (merah keputih-putihan). Keterangan lanjut dapat dirujuk pada kitab al-Mu'iin al-Mubin jilid 11 :109)

Di dalam kitab Tanwirul Ma'aly Lis Syaikh Dalhar bin Abdorrohman Al-Watuza'uly (Watucongol) bahawa Syaikh 'Ali Abi Hasan al- Syazily pengasas Tharekat Syaziliyyah adalah seorang ulama yang kaya raya dan suka bersedekah yang kewaliyannya disepakati oleh Jumhurul Ulama (majoriti ulama) di seluruh dunia dan tidak ada yang membantah atas kewaliannya. Beliau adalah salah satu ulama yang selama hidupnya selalu mendapat Lailatul Qadar.

Berdasarkan pengalaman tersebut maka beliau berkesimpulan :

1) Bila awal puasa hari (Ahad) - Lailatul Qadar jatuh pada (malam tarikh 29).
2) Bila awal puasa hari (Isnin) - Lailatul Qadar jatuh pada (malam 21).
3) Bila awal puasa hari (Selasa - Lailatul Qadar jatuh pada (malam27).
4) Bila awal puasa hari (Rabu) - Lailatul Qadar jatuh pada (malam 19).
5) Bila awal puasa hari (Khamis) - Lailatul Qadar jatuh pada (malam 25).
6) Bila awal puasa hari (Jumaat) - Lailatul Qadar jatuh pada (malam 17).
7) Bila awal puasa hari (Sabtu) - Lailatul Qadar jatuh pada (malam23).

Hasil Tajriah (Kaji selidik) ini tentunya bukan merupakan sesuatu kepastian yang mesti tepatnya. Hanya kerana yang menyimpulkan adalah seorang ulama juga wali besar yang sangat dekat dengan Allah SWT, maka ianya dapat kita jadikan pedoman agar kita dapat menemukan Lailatul Qadar.

Wallahu a'lam.

Merahsiakan wali-waliNya di tengah-tengah manusia:

Sesungguhnya para kekasih Allah dirahsiakan di tengah-tengah manusia. Maksudnya agar manusia tidak menghina terhadap seorang pun dari wali (kekasih Allah), sebaliknya hendaklah mereka memohon doa denganharapan menemui wali tersebut. Oleh itu seorang jangan menghina orang lain, kerana mana tahu bahawa orang yang dihina tersebut adalah wali Allah (hamba yang dikasihi Allah).

(Huraian mengenai rahsia ini sangat panjang dan menarik tetapi untuk mengetahuinya silalah buka muka surat 274--> 291 dalam kitab NASHAIHUL'IBAD Imam Nawawi Nasihat-Nasihat Agama Kepada Calon Penghuni Syurga.) Cukup teruja membaca kisah mukjizat, kekeramatan para sahabat dan seumpamanya)


Menyisipkan kematian di sepanjang umur :

Ajal dirahsiakan sepanjang usia bermaksud boleh jadi ajal akan tiba di saat baru lahir, ketika usia muda ataupun setelah tua. Oleh yang demikian hendaklah di setiap denyut jantung selalu digunakan menghimpun bekalan untuk menghadapi mati dengan cara beribadah kerana siapa tahu kematian datang dengan tiba-tiba.


Menyembunyikan solat Wustha di dalam solat lima waktu:

Solat Wustha yakni solat yang paling utama dan istimewa disembunyikan Allah SWT dalam solat lima waktu, maksudnya agar manusia mencarinya pada semua solat. {Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan solat wustha adalah solat 'Ashar. Bagaimanapun ayat 238 surah al-Baqarah yang menyebut perkataan Wustha mengikut ahli hadis bermaksud, "Agar seluruh solat itu dilakukan dengan sebaiak-baiknya dan sekhusyuk-khusuknya)

Wallahua a'lam.

Selain itu, Allah menyembunyikan nama-Nya yang agung, agar manusia bersungguh-sungguh dalam berdoa dan beribadah agar dapat dikabulkan segala permohonannya. Sesungguhnya Allah SWT juga menyembunyikan waktu ijabah (waktu dikabulkan doa) pada hari jumaat dan Allah menyembunyikan ayat Sab'ul Matsani, agar manusia bersungguh-sungguh membaca semua ayat al-Quran.

Monday, January 31, 2011

Pesanan untuk orang sombong

Ace

Pesanan untuk orang sombong







SEMEMANGNYA sukar untuk memahami sifat manusia yang sentiasa berlumba-lumba meletakkan diri menjadi yang terhebat, menuntut orang lain supaya menghormatinya tanpa empunya diri itu menghormati orang lain terlebih dahulu. Merendah-rendahkan orang lain yang mempunyai pertalian persaudaraan agama, menyakiti hati manusia lain dan menyombong membangga diri bagai sudah menjadi makanan hatinya setiap hari.

Baginya, dialah yang terhebat, dialah yang paling layak dipuji dan dialah yang terbaik dalam seramai-ramai manusia. Untuk meletakkan dirinya sebagai yang terhebat, semua perbuatan orang lain ditempelak cepat-cepat, diperlekeh sebulat-bulat, katanya setiap yang keluar dari perbuatan dan percakapan orang lain itu dusta semata-mata, walhal dia tidak pernah berusaha berfikir dengan tingkat yang sewajarnya terhadap setiap yang dikatakannya sebagai dusta itu. Dia berterusan sedaya upaya mahu meletakkan dirinya sebagai yang terhebat dalam seramai-ramai bangsa manusia meskipun banyak orang yang terpaksa ditempelak dan dikutuknya.

Keadaan itu boleh digambarkan sebegini walaupun contoh rekaan ini tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup atau telah meninggal dunia:

Seorang lelaki tiba-tiba masuk ke rumah anda dengan bengis, memaki hamun anda sekeluarga, mengeluarkan kata-kata kurang manis dan pelbagai tuduhan kerana cara anda tidak sebulu dengannya, menuduh keluarga anda sebagai kurang ajar, lelaki itu bertempik lagi mengatakan anda sekeluarga bodoh dan banyak perkataan kurang enak yang dikeluarkannya kepada anda sekeluarga. Kemudian lelaki itu berkata:

“Akulah yang paling bagus kerana aku tidak bodoh dan aku tidak kurang ajar seperti kamu semua. Kamu semua mesti hormat kepada aku!!!”

Mungkin begitu niat dan maksud kata-katanya.

Anda mahu hormat kepada orang seperti itu? Terpulang kepada anda.

Dalam contoh kes itu, adakah lelaki yang masuk ke rumah anda dengan wajah bengis dan memaki hamun itu benar-benar bijak dan bersopan santun seperti dikatakannya? Lelaki itu seperti mahu memaksa anda sekeluarga dan semua orang mengangkat dirinya sebagai yang terbaik, walhal dia sendiri melanggar setiap maksud asal perkataan yang diucapkan untuk memuji dirinya sendiri. Cukup bijakkah tindakan lelaki itu?

Keluarga malang yang tidak pernah sekalipun mengumpat keji lelaki itu berterusan diherdik sepanjang masa. Lelaki itu kemudian mencanang segala sudut cerita yang boleh dianggap sebagai keburukan keluarga itu di tempat awam. Pada masa yang sama, lelaki itu istiharkan hanya dirinya yang terbaik dan wajar dijadikan ikutan semua orang. Tanpa disedari, lelaki itu mempamerkan segala keburukannya sendiri kepada tontonan umum.

-

Apakah sifat yang mendorong seseorang melakukan perbuatan seperti itu? Kita semua boleh memikirkan jawapannya. Seperti biasa, blog ini tidak pernah menyediakan jawapan kepada anda semua. Kami juga tidak pernah menonton The Arrivals dan sekuel-sekuelnya seperti anda semua kerana kami terlalu sibuk mengejar waktu menyiapkan kerja harian. Kami juga tiada masa untuk menghadap komputer berjam-jam, apatah lagi menghadap televisyen dan berhibur membuang masa sia-sia. Teringin juga untuk menonton siri yang dikatakan sangat menarik itu. Atau mungkin kami boleh berusaha untuk menemui pembikin siri itu untuk berkongsi pengetahuannya, kemudahan akses untuk menemui sesiapa juga yang kami mahu, itu mungkin sekali kelebihan buat kami yang melakukan pekerjaan seperti ini. Jika pertemuan menjadi nyata, mahu juga merendah diri dan berkongsi dengan anda semua.

Berbalik kita kepada lelaki sombong itu tadi. Mungkin, orang seperti itu memang dilahirkan dengan kelebihan sifat sombong dan bongkak. Peratus sifat sombong dan bongkaknya itu jauh lebih banyak berbanding orang lain, sifat sombongnya itu bagaikan ‘bonus’ buat dirinya. Mungkin juga sejarah silam membuatkan dia mencintai kesombongan dan keangkuhan kerana pada fikirannya, hanya dengan mempamerkan keangkukah sahaja yang dapat menundukkan orang lain supaya memuji-muji dan mengikut setiap telunjuknya. Dia sedaya upaya mahu mencapai tahap super-ego.

Meskipun sombong dan angkuh, dia masih gemar bercerita mengenai keperibadian Rasulullah yang membuatkan setiap hati menjadi sejuk dan nyaman kalau diberi peluang berada di sisi Rasulullah. Walaupun dia selalu memuji-muji keperibadian Rasulullah, tetapi dia sendiri membuat perkara yang tidak disukai baginda Rasulullah iaitu bergelumang sifat sombong dan angkuh, mengeji orang lain dan membangga diri.

Suka kah orang lain terhadap sifat sombong yang dimiliki itu? Jika semua orang membuang anda disebabkan berasa jelek dengan kesombongan anda itu, adakah semua orang itu dianggap musuh oleh anda? Kawan yang baik ialah kawan yang sentiasa menegur demi kebaikan kawannya itu meskipun kawan itu tadi mungkin memusuhinya disebabkan teguran-teguran itu. Kami rela menjadi kawan yang dimusuhi.

Cuba kita keluar dan menghirup persekitaran dunia di luar sana. Walaupun yang dihirup itu boleh membuatkan kita tersedak atau terbatuk, cuba keluar juga dan hirup. Fikir kembali, kita atau sebilangan orang hanya hebat berkata-kata di internet, dalam rumah depan keluarga sendiri dan berasa diri cukup hebat dengan bangga. Walhal, tidak berani untuk keluar membuat perubahan dengan tangan sendiri di luar sana.

Jika ‘anda’ adalah orang sombong itu, sila langsaikan semua hutang-hutang anda, sila minta maaf daripada semua orang terutama ibu dan bapa, sila isi pakaian dalam beg, bawa bersama barang-barang peribadi yang dianggap perlu, bawa duit secukupnya kerana semua perbelanjaan dan risiko ditanggung sendiri, pastikan ada pasport antarabangsa dan mampu terus hidup jika terkandas seorang diri tanpa ada bantuan daripada seorang manusia pun.

Wahai orang sombong, jom ikut kami bergerak ke serata dunia kalau benar-benar hebat dan berani menongkah arus hitamnya. Mari. Action speaks louder than words and letters. Huruf braille juga sudah cukup untuk menyampaikan maksud jika semua orang celik tahu membacanya.

Semoga perjalanan yang diselang seli dengan penderitaan itu nanti boleh membuatkan ‘orang sombong’ lebih menghargai sifat hormat-menghormati dan merendah diri. Siapalah kita kalau bukan dipelihara oleh kasih sayang dari ALLAH.


Makhluk tidak pernah diberi keizinan untuk bersikap sombong.

**Pelbagai penyakit hati dan cara mengubatinya**



Macam-macam erti penyakit hati dan sifat buruk manusia :

1. Iri Hati
Iri hati adalah suatu sifat yang tidak senang akan rezeki dan nikmat yang didapat oleh orang lain dan cenderung berusaha untuk menyainginya. Iri hati yang diperbolehkan dalam ajaran islam adalah iri dalam hal berbuat kebajikan, seperti iri untuk menjadi pintar agar dapat menyebarkan ilmunya di kemudian hari. Atau iri untuk membelanjakan harta di jalan kebenaran.

2. Dengki
Dengki adalah sikap tidak senang melihat orang lain bahagia dan berusaha untuk menghilangkan nikmat tersebut. Sifat ini sangat berbahaya kerana tidak ada orang yang suka dengan orang yang memiliki sifat seperti ini.

3. Hasut / Hasud / Provokasi
Hasud adalah suatu sifat yang ingin selalu berusaha mempengaruhi orang lain agar amarah / marah orang tersebut meluap dengan tujuan agar dapat memecah belah persatuan dan tali persaudaraan agar timbul permusuhan dan kebencian antara sesama.

4. Fitnah
Fitnah lebih kejam dari pembunuhan adalah suatu kegiatan menjelek-jelekkan, menodai, merusak, menipu, membohongi seseorang agar menimbulkan permusuhan sehingga dapat berkembang menjadi tindakan jenayah pada orang lain tanpa bukti yang kuat.

5. Buruk Sangka
Buruk sangka adalah sifat yang curiga atau menyangka orang lain berbuat buruk tanpa disertai bukti yang jelas.

6. Khianat
Khianat adalah sikap tidak bertanggungjawab atau mangkir atas amanat atau kepercayaan yang telah dilimpahkan kepadanya. Khianat biasanya disertai bohong dengan ucapan janji. Khianat adalah ciri-ciri orang munafik. Orang yang telah berkhianat akan dibenci orang disekitarnya dan kemungkinan besar tidak akan dipercaya lagi untuk memegang suatu tanggung jawab di kemudian hari.

Berbagai jenis-jenis atau macam-macam penyakit hati telah dijelaskan seperti iri hati, dengki, hasud, su udzon, khianat, dan lain sebagainya. Penyakit-penyakit ini apabila tidak ditangani dan dikawal dengan baik boleh memberi kesan buruk pada diri kita. Seperti halnya penyakitlain pada organ tubuh kita, penyakit hati yang berupa sifat perilaku buruk juga boleh diubati / disembuhkan dengan ubat hati.

Berikut ini adalah beberapa ubat untuk menyembuhkan penyakit hati kita :

1. Tidak Banyak Bercakap

Terlalu banyak bercakap dapat membuat hati kita menjadi keras. Bercakaplah yang tidak penting secukupnya dan hindari menjadi orang yang bercakap besar, berbual kosong, tukang bohong, ghibah, dan lain sebagainya. Banyak bercakap dalam kebaikan dibolehkan seperti untuk mengajar, petugas pelayan, bercakap biasa dengan rakan, tetangga, keluarga, dan sebagainya.

2. Menjaga Emosi Dan Nafsu

Emosi dapat membuat hidup menjadi tidak tenang. Oleh kerana itu kita sebaiknya selalu menjaga emosi kita agar tidak menjurus kepada penyakit hati. Beberapa contoh nafsu yang harus kita tundukkan antara lain seperti nafsu kepada harta, nafsu seks, nafsu makan, nafsu kepada jawatan, nafsu marah, nafsu mewujudkan impian, dan lain sebagainya. Salah satu cara untuk melatih emosi dan nafsu kita adalah dengan melakukan ibadah puasa, baik puasa sunat maupun puasa wajib ramadhan.

3. Selalu Mengingat Allah SWT

Ada beberapa cara untuk dapat selalu mengingat Allah SWT iaitu seperti dengan rajin sembahyang baik yang wajib lima waktu, atau sholat tahajud, sholat dhuha, sholat malam, dan lain-lain. Selain itu zikir, doa dan mengaji atau membaca al-qur'an juga dapat menghindarkan kita dari penyakit hati. Diharapkan dari mengingat Allah SWT kita menjadi takut atas ancaman Allah SWT jika kita melakukan dosa yang disebabkan oleh penyakit hati dan perbuatan maksiat.

4. Bergaul Dengan Orang Soleh

Dengan berteman dengan orang-orang yang penuh dengan penyakit hati hanya akan dijangkiti dengan penyakit-penyakit itu sehingga kita akan semakin jauh dari Allah. Salah pergaulan juga dapat menambah dosa akibat perbuatan maksiat yang baik disedari atau tidak telah kita lakukan. Lain hal apabila kita bergaul dengan orang sholeh yang selalu menjaga dan membatasi diri dalam pergaulan agar mereka tidak terjerumus dalam maksiat.

Semoga anda selalu terhindar dari penyakit hati, serta masalah yang disebabkan olehnya.