| Norden Mohamed | Editor: kasihsayang
Untuk menulis mengenai hijrah ini, saya merujuk beberapa sumber yang di antaranya ialah buku The Sealed Nectar atau Ar-Raheequl Makhtum, susunan Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri. Buku biografi Nabi Muhammad s.a.w. ini merujuk kitab-kitab muktabar terdahulu yang di antaranya kitab-kitab sahih Bukhari dan Muslim.
1 Muharram Bukan Tarikh Hijrah
Saya tertarik kepada beberapa fakta yang memperbetul tanggapan saya mengenai hijrah. Selama ini, saya beranggapan Rasulullah s.a.w melaksanakan hijrah daripada Mekah ke Madinah secara beramai-ramai pada 1 Muharram. Gambaran yang ada di layar minda saya ialah, penghijrahan yang didahului oleh baginda itu diikuti dengan berduyun-duyun umat Islam sekali rap sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s yang membawa kaumnya menyeberangi Laut Merah.
Padahal, hijrah orang-orang Islam Mekah telah bermula lebih awal daripada bulan Muharram dalam kumpulan-kumpulan kecil sebelum baginda memperoleh wahyu daripada Allah s.w.t agar berpindah. Nabi Muhammad s.a.w sendiri bertolak daripada Mekah selepas bulan Muharram iaitu pada 27 Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal iaitu 16 hari perjalanan. Dan baginda hanya tiba berdua sahaja dengan Saidina Abu Bakar.
Dalam era pentadbiran Saidina Omar Al-Khattab, pemimpin umat Islam itu telah memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama kalendar hijrah. Kitalah pula yang memilih 1 Muharram untuk memperingati penghijrahan baginda, bukannya sebagai tarikh bermulanya perpindahan Rasulullah s.a.w dan umatnya.
Proses Untuk Berubah
Hijrah adalah satu proses untuk berubah. Sebagai manusia seperti kita, Rasulullah s.a.w yang berpindah secara fizikal juga perlu berubah secara mental apabila bermastautin di tempat yang baharu. Sudah tentu perubahan spiritual atau kejiwaan perlu baginda ditangani agar ia kental, tidak terjejas, malah semakin kukuh.
Justeru itu, hijrah itu bukannya memasang niat untuk berubah apabila tahun baharu menjelang. Sebaliknya ia adalah satu hasrat yang disusuli dengan pelan perubahan, diikuti dengan tindakan, dipertahankan dengan kekuatan emosi dan dipasak dengan iltizam rohani. Kerana itulah, hijrah yang dilakukan secara bidan terjun akan menemui kagagalan.
Hijrah akan lebih berkesan seandainya ia dilakukan secara berkumpulan seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda tidak berpindah sendirian. Ini adalah kerana, perubahan atau penghijrahan yang dilakukan dalam kumpulan lebih mudah diperkekalkan kerana teman-teman sekumpulan dapat ingat memperingati agar masing-masing dapat mempertahankan perubahan yang dipilih.
Lihatlah penghijrahan beribu-ribu ekor penyu yang menyelami lautan, burung-burung yang terbang merentasi benua dan pelbagai binatang daratan seperti beruang, gajah, kambing biri-biri mahupun kupu-kupu. Meskipun pada asasnya ia berhijrah untuk mencari makan, ia berpindah secara kumpulan dan bukannya sendirian.
Kerana itu, seandainya kita ayah yang hendak berubah, jangan lupa untuk membawa sekali isteri dan anak-anak untuk ikut sama. Jangan nanti apabila kita berjaya di dunia, isteri dan anak masih terkapai-kapai dengan kehidupan yang tanpa arah. Silap-silap, kita menjadi bapa yang gagal di akhirat kerana tidak berjaya menghijrahkan keluarga.
Ketua kecil di mana-mana unit atau bahagian pejabat yang bagus tentulah terpilih kerana berperibadi elok dan berproduktif tinggi. Kerana itu, dia terpilih menjadi pemimpin. Tetapi, pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang boleh membawa anak-anak buah untuk berhijrah. Dia bukan ketua yang baik kalau membiarkan anak-anaknya melanggar disiplin syarikat.
Begitu juga, majikan atau pemimpin-pemimpin yang mempunyai beratus malah beribu-ribu pengikut, mestilah berkebolehan untuk mengajak segenap anggota yang dipimpinnya untuk berhijrah sama. Jangan pula dia bercakap dengan penuh semangat di pentas utama untuk mengajak pengikutnya berubah, sedangkan mereka hanya mentertawakan kerana tidak faham hijrah yang dibawanya.
Hijrah bukannya perubahan teknologi terkini, susunan ekonomi, menambah bangunan ataupun memperlengkap prasarana. Tetapi ia adalah transformasi manusia ~ individu yang menjadi anggota ummah. Bukan perubahan perkara atau benda, tetapi manusia....
No comments:
Post a Comment