Monday, December 13, 2010

** Berhijrah Biarlah Beramai-Ramai **




| Norden Mohamed | Editor: kasihsayang

Untuk menulis mengenai hijrah ini, saya merujuk beberapa sumber yang di antaranya ialah buku The Sealed Nectar atau Ar-Raheequl Makhtum, susunan Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri. Buku biografi Nabi Muhammad s.a.w. ini merujuk kitab-kitab muktabar terdahulu yang di antaranya kitab-kitab sahih Bukhari dan Muslim.

1 Muharram Bukan Tarikh Hijrah

Saya tertarik kepada beberapa fakta yang memperbetul tanggapan saya mengenai hijrah. Selama ini, saya beranggapan Rasulullah s.a.w melaksanakan hijrah daripada Mekah ke Madinah secara beramai-ramai pada 1 Muharram. Gambaran yang ada di layar minda saya ialah, penghijrahan yang didahului oleh baginda itu diikuti dengan berduyun-duyun umat Islam sekali rap sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s yang membawa kaumnya menyeberangi Laut Merah.

Padahal, hijrah orang-orang Islam Mekah telah bermula lebih awal daripada bulan Muharram dalam kumpulan-kumpulan kecil sebelum baginda memperoleh wahyu daripada Allah s.w.t agar berpindah. Nabi Muhammad s.a.w sendiri bertolak daripada Mekah selepas bulan Muharram iaitu pada 27 Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal iaitu 16 hari perjalanan. Dan baginda hanya tiba berdua sahaja dengan Saidina Abu Bakar.

Dalam era pentadbiran Saidina Omar Al-Khattab, pemimpin umat Islam itu telah memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama kalendar hijrah. Kitalah pula yang memilih 1 Muharram untuk memperingati penghijrahan baginda, bukannya sebagai tarikh bermulanya perpindahan Rasulullah s.a.w dan umatnya.

Proses Untuk Berubah

Hijrah adalah satu proses untuk berubah. Sebagai manusia seperti kita, Rasulullah s.a.w yang berpindah secara fizikal juga perlu berubah secara mental apabila bermastautin di tempat yang baharu. Sudah tentu perubahan spiritual atau kejiwaan perlu baginda ditangani agar ia kental, tidak terjejas, malah semakin kukuh.

Justeru itu, hijrah itu bukannya memasang niat untuk berubah apabila tahun baharu menjelang. Sebaliknya ia adalah satu hasrat yang disusuli dengan pelan perubahan, diikuti dengan tindakan, dipertahankan dengan kekuatan emosi dan dipasak dengan iltizam rohani. Kerana itulah, hijrah yang dilakukan secara bidan terjun akan menemui kagagalan.

Hijrah akan lebih berkesan seandainya ia dilakukan secara berkumpulan seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda tidak berpindah sendirian. Ini adalah kerana, perubahan atau penghijrahan yang dilakukan dalam kumpulan lebih mudah diperkekalkan kerana teman-teman sekumpulan dapat ingat memperingati agar masing-masing dapat mempertahankan perubahan yang dipilih.

Lihatlah penghijrahan beribu-ribu ekor penyu yang menyelami lautan, burung-burung yang terbang merentasi benua dan pelbagai binatang daratan seperti beruang, gajah, kambing biri-biri mahupun kupu-kupu. Meskipun pada asasnya ia berhijrah untuk mencari makan, ia berpindah secara kumpulan dan bukannya sendirian.

Kerana itu, seandainya kita ayah yang hendak berubah, jangan lupa untuk membawa sekali isteri dan anak-anak untuk ikut sama. Jangan nanti apabila kita berjaya di dunia, isteri dan anak masih terkapai-kapai dengan kehidupan yang tanpa arah. Silap-silap, kita menjadi bapa yang gagal di akhirat kerana tidak berjaya menghijrahkan keluarga.

Ketua kecil di mana-mana unit atau bahagian pejabat yang bagus tentulah terpilih kerana berperibadi elok dan berproduktif tinggi. Kerana itu, dia terpilih menjadi pemimpin. Tetapi, pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang boleh membawa anak-anak buah untuk berhijrah. Dia bukan ketua yang baik kalau membiarkan anak-anaknya melanggar disiplin syarikat.

Begitu juga, majikan atau pemimpin-pemimpin yang mempunyai beratus malah beribu-ribu pengikut, mestilah berkebolehan untuk mengajak segenap anggota yang dipimpinnya untuk berhijrah sama. Jangan pula dia bercakap dengan penuh semangat di pentas utama untuk mengajak pengikutnya berubah, sedangkan mereka hanya mentertawakan kerana tidak faham hijrah yang dibawanya.

Hijrah bukannya perubahan teknologi terkini, susunan ekonomi, menambah bangunan ataupun memperlengkap prasarana. Tetapi ia adalah transformasi manusia ~ individu yang menjadi anggota ummah. Bukan perubahan perkara atau benda, tetapi manusia....

Monday, December 6, 2010

** CINTA ITU FITRAH **

Amaini Posted by Amaini





Cinta... satu pengalaman yang dikatakan cukup indah dan kehilangan cinta dikatakan cukup pedih. Bagi saya yang tidak pernah bercinta (tetapi amat percaya pada cinta), saya tidak boleh komen lebih-lebih mengenai perasaan bercinta atau putus cinta. Tetapi, saya ada satu kisah benar yang berlaku kepada seorang kawan baik saya ketika di Amerika. Kisah ini membuktikan cinta terbaik hadir apabila kita berubah menjadi terbaik.

Kisah S
Pada tahun 1996, semasa saya melangkah kaki di Illinois State University, tiada orang Melayu Malaysia dan saya satu-satunya wanita bertudung. Selepas seminggu berada di bumi Amerika, S adalah orang pertama yang menegur dan memberi salam. Ketika itu, saya mengakui betapa perkataan semudah "assalamualaikum" menjadi common language antara 2 insan berlainan bangsa dan warganegara.

S adalah gadis Pakistan yang lahir dan dibesarkan di Amerika. Bersama-samanya ketika itu ialah M, teman lelaki yang berbangsa black American yang baru setahun memeluk Islam. Dipendekkan cerita, setelah beberapa kali berjumpa, kami sepakat apabila semester seterusnya, kami akan tinggal sebilik di asrama.
Apabila kami menjadi roomate bersama 2 gadis berbangsa white American yang lain, saya mengenali S dengan lebih rapat. Setiap malam Sabtu, dia akan keluar dengan kawan-kawannya (dia tidak pernah mengajak saya). Dia cukup rajin belajar dan antara pelajar cemerlang dalam bidang biologi.

Saya pernah ke rumah keluarganya. Adik perempuannya bermekap tebal ala ghotic dan abangnya akan menyebut 'f#%@" disetiap akhir ayat. Rumahnya sederhana dan rasa tenang sepertimana rumah berkeluarga yang lain. Saya perhati, hampir di setiap dinding rumahnya tertera "786". Apabila ditanya, katanya, "that is the number of times Bismillah is mentioned in Quran." Saya diam sahaja kerana kurang arif. Hanya sekali sahaja saya tegur dengan nada serius "S, if I saw you sleeping in one bed with M again, I sleep outside."

Saya akui, kelemahan iman menyukarkan saya menegur perkara-perkara lain tetapi percaya perubahan total perlu datang dari dalam diri. Saya menerima S seadanya.
Suatu hari S kata, dia cuba nak pakai tudung. Dia mula pakai tudung putih ke kampus dengan baju lengan pendek. Sebulan kemudian, dia pakai jubah hitam di atas baju lengan pendeknya. Dia juga mula membaca tafsir Al-Quran.
Suatu hari S, beritahu saya, "Mimi do you know, when Allah send the message for the women to wear hijab, they immediately pull the curtains and cover themselves with it. Only their eyes were shown."

Beberapa minggu kemudian, S menutup mukanya dengan kain. Hanya mata yang kelihatan. Saya berkesempatan ke rumah keluarga S lagi. Rumahnya masih sama. Tetapi, isi rumahnya sudah lain. Adik perempuannya sudah berjubah dan menutup muka, tiada lagi "786" sebaliknya diganti dengan ayat Quran, abangnya juga sudah tidak menyebut "f%#@". Adik perempuannya juga ambil keputusan berhenti sekolah menengah & hanya home school. Mereka sekeluarga juga mengambil kelas bahasa arab.

Untuk pengetahuan semua, dari saat S beritahu hendak pakai tudung sehingga saat dia menutup wajahnya (termasuk tangan), ia mengambil masa kurang dari 1 tahun.
Okay sekarang cerita cinta...
Sepanjang perubahan itu, S masih dengan M (yang juga berubah menjadi Muslim yang lebih baik). Mereka berdua sudah tidak berjumpa berdua-duan. Kalau berjumpa, mereka akan berbincang mengenai hadis atau ayat Al-Quran. Suatu hari sepupu S (juga, suatu ketika pernah melalui kehidupan bebas) masuk melamar. Sepupunya adalah antara pendakwah muda di beberapa konvesyen Muslim di Amerika.
Di bahu ini, S meluahkan dalam perasaannya...
"How can I love another man, as I love M...?"

Saya tak boleh nak jawab. S keraskan hatinya yang pilu dan menerima lamaran sepupunya. M juga terpaksa menerima dengan hati yang berat.
Tiga bulan kemudian, S bercerita pengalaman keluarganya bercuti. Malah, dia juga memberitahu bagaimana sepupunya (si tunang) terpaksa mengangkat punyalah banyak beg dan dia yang berjalan di belakang berkekeh ketawa dengan adiknya. Saya juga turut gelak kecil. S bercerita dengan nada gembira & seri di muka.
Semenjak saya pulang ke Malaysia, saya sudah hilang contact dengan S. Namun, saya bersyukur sepanjang 2 tahun setengah bersama S, Tuhan tunjukkan erti sebenar perubahan.

Bagi pembaca sume, walaupun belum bertemu cinta, percayalah, apabila kita berubah menjadi diri kita yang terbaik, Tuhan akan buka laluan untuk cinta yang terbaik juga hadir. Saya doakan semoga kita bertemu cinta yang telah dijanjikan.

- Artikel iluvislam.com

CERIA2 SLALU....




Memutuskan Silaturahim, Satu Dosa Besar


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”

Riwayat al-bukhari

Huraian:

* Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.
* Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:” Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”
* Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.
* Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.
* Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

- posted by : Akidah Akhlak

Selamat Menyambut Maal Hijrah

Doa Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu ‘Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”.


Doa Awal Tahun

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata, “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H

snow_ice