Saturday, December 26, 2009

Kasih dan Cinta dalam Islam


Istilah cinta amat popular dan menjadi satu ungkapan setia di bibir² remaja yang menganggapnya satu kalimah suci dan bererti.

Ada yang berbangga memiliki seorang kekasih yang setia dan mula memasang angan-angan untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan.

Fanomena ini berlanjutan dari bangku sekolah lagi malah adakalanya membawa kepada sesuatu di luar jangkauan

Cinta perlu difahami. Semestinya seorang remaja perlu memahami kehendak dan definisi yang tepat.

Tanya pada diri, sama ada cinta hanya sekadar gelojak perasaan serta rasa tertarik antara satu sama lain cukup untuk menjelaskan maksudnya?

Di dalam artikel bertajuk Hakikat Percintaan Dalam Islam, rasa hati yang dinamakan cinta merupakan satu perasaan yang semulajadi di alami oleh setiap insan baik muda mahupun tua.

Allah telah menganugerahkan manusia naluri untuk meneruskan keturunan (salah satunya, menyukai pasangan berlainan jantina) atau dikenali dengan gharizah Al-Nau'.

Ini merupakan salah satu naluri manusia dari yang tiga iaitu gharizah Al-baqa' (naluri untuk meneruskan kehidupan dan mempertahankan), gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk menyembah dan beragama) dan gharizah Al-Nau'.

Jadi adanya perasaan itu sememangnya sudah fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak haram di sisi Islam.

Dalam keadaan ini, manusia perlu memahami kedudukan cintanya dan ke mana hala tuju seterusnya.

Malangnya remaja hilang punca dan meletakkan satu kesimpulan yang mudah tentang hakikat cinta.

Cinta perlu difahami sebagai satu rasa kasih sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab, kesetiaan, komitmen, keikhlasan, bermaruah dan ada matlamat.

Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam apa yang dikatakan sebagai cinta, maka hubungan
sedemikian sekadar satu permainan dan kepura-puraan sahaja.

Konsep cinta dalam Islam meletakkan satu aturan yang sistematik dan teratur tanpa mengabaikan hubungan antara manusia dan Allah.

Atas dasar ini, Islam meletakkan cinta pada satu kedudukan yang bermaruah dan bernilai baik bagi pihak lelaki dan perempuan.

Ke mana hala tujunya destinasi cinta remaja? Adakah setakat mengisi usia remaja dan
adakalanya putus di tengah jalan?

Mungkin destinasi cinta remaja yang diingini lebih kepada konsep ala Barat yang disifatkan penuh romantis dan indah.

Mulianya cinta berlandaskan Islam kerana cinta yang dibina bermatlamat. Kerana ingin mendapat kasih sayang tuhan, manusia sedia berkongsi rasa cinta dan kasih sayang sesama insan.

Kerana inginkan kasih sayang tuhan jualah, masing-masing ingin selamat-menyelamatkan antara satu sama lain dari segi hubungan dan kehidupan di dunia untuk mengejar sesuatu yang abadi di akhirat.

Cinta yang dibina bukan cinta kosong tetapi cinta yang punya pengertian yang luhur dan hanya dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih yang sentiasa mencari tuhan.



Share

No comments: