Oleh ibnuqalil
Mungkin kalian pernah diajukan soalan oleh teman mahupun kenalan, “Kenapa masih belum berumahtangga lagi?” Maka gelabahlah bagi mereka yang terlalu sensitif dengan soalan ini lebih-lebih lagi bagi muslimat.
Jawapan yang lazim diberi adalah, “Tidak ada jodoh lagi..” atau kadang-kadang, "Belum ada rezeki lagi.." Ada juga memberi jawapan, "Nak bantu keluarga dulu.." Baiklah, mungkin selepas ini kalian akan mempunyai jawapan yang lebih sesuai.
Jodoh, rezeki, ajal dan maut adalah ketetapan Allah s.w.t. Segala sesuatu sejak awal terciptanya Qalam sampai tiba hari Qiyamat telah tertulis di Lauh Mahfudz, kerana sejak permulaan menciptakan Qalam Allah telah berfirman kepadanya dalam hadith qudsi riwayat Bukhari dan Muslim : "Tulislah", Dia (Qalam) bertanya : "Wahai Rabb-ku, apa yang harus aku tulis?"
Allah berfirman : "Tulislah segala sesuatu yang terjadi".
Kemudian dia (Qalam) menulis segala sesuatu yang terjadi sampai hari kiamat. Lalu Allah memerintahkan Malaikat untuk menulis empat perkara iaitu ajal, rezeki, amal, celaka atau beruntung.
Menurut Ulama' Ahli Sunnah yang dimaksud rezeki itu mencakupi rezeki zahir dan rezeki batin. Dan rezeki batin itu adalah jodoh. Syaikh Muhammad bin Shalih Al-'Utsaimin juga pernah menghuraikan perkara yang sama
Kalau sebab miskin ataupun tiada duit, itu bukan persoalan utama. Allah menjanjikan suatu pertolongan kepada orang yang ingin bernikah, dalam surah an-Nur ayat 32 Allah berfirman yang bermaksud :
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya.
Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
Rasulullah S.A.W menguatkan janji Allah itu dengan sabdanya yang bermaksud :
"Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah karena ingin memelihara kehormatannya” . (Hadits Riwayat Ahmad 2 : 251, Nasa’i, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits No. 2518, dan Hakim 2 : 160 dari shahabat Abu Hurairah radliyallahu ‘anhu).
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar mencerita bahwa seorang ulama sunni pernah berkata, “Jika Dia menghalangimu atas apa yang menjadi hakmu, bererti Dia telah menzalimimu; tetapi jika Dia menghalangi kerana sesuatu yang ada padaNya, maka sesungguhnya Dia memberikan rahmatNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya.”
Jodoh kita telah pun ditentukan oleh Allah. Apabila Allah menghalangi sesuatu dari seseorang kerana kehendakNya, sudah tentu halangan tersebut merupakan “sesuatu yang terbaik”, kerana Allah Maha Mengetahui.
Apabila Allah telah memutuskan “sesuatu yang terbaik” kepada makhlukNya, bermakna tuhan sedang melimpahkan rahmatNya kepada makhluk itu.
Nah, ini jawapan yang Aku cari dan persembahkan buat sahabat-sahabat yang bertanya, mengapa masih belum berumahtangga lagi. Sekadar perkongsian dengan sahabat-sahabat dalam soal jodoh.
Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, “Kenapa masih belum berumahtangga lagi?”,
jawapan yang sesuai adalah, “Semua ini adalah rahmat dari Allah swt .”
Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment