Tuesday, December 29, 2009

Tarik nafasmu dalam-dalamnya

Tarik nafasmu dalam-dalamnya

* Posted by Ace on December 28, 2009


Tarik nafasmu dalam-dalam kemudian duduk diam seketika, atau mungkin boleh saja kau pejamkan mata. Gelap! Dalam keadaan gelap-gelita itulah kau cuba nyalakan cahaya, atau dalam keadaan begitu kau bergerak saja menggunakan mata hati, kerana mata hati sebenarnya mampu menembusi apa saja.

Apa yang kita ingini dalam hidup ini sebenarnya? Hidup dan kehidupan bagaimana yang kita dambakan? Jawapan mudahnya, semua orang mahu senang! Mahu apa saja yang diingininya, apa saja yang diidamkan dan diimpikannya dapat dipenuhi tanpa bersusah-payah.

Tarik nafasmu dalam-dalam dan pejamkan mata! Dalam kegelapan itu kau tanyakanlah kepada diri sendiri, adakah kehidupan yang sebegitu mudah?

Kau mungkin ingin sekali memberikan jawapan 'YA', atas dasar apa yang kau lihat di sekelilingmu. Benarkah apa yang kau lihat itu sebagai sebuah realiti? Atau ia hanya sebuah bayangan indah yang telah mengaburi pandangan matamu, yang mengelabui mata hatimu? Kau pasti akan termenung seketika kerana celaru mencari jawapan hakiki. Lalu kau akan berada buat beberapa ketika dalam lingkungan dunia tak pasti.

Kau ingin hidup bahagia, dengan memiliki segala apa yang indah, yang sempat singgah di mindamu. Soalan mudah - Siapa yang tak ingin kehidupan begitu? Rasanya tak ada seorang pun yang mahu menolak kehidupan mewah, kerana kita sekalian hamba ini memang sentiasa bernafsu dan berselera untuk bersenang-lenang.

Bagaimana pun, nasib di antara kita sekalian hamba ini tidak sama. Takdir untuk kita setiap hamba ini tak serupa. Kerana, Maha Pencipta itu Maha Mengetahui tentang apa yang dicipta-Nya. Maha Mengetahui tentang segala sebab dan akibat terhadap kita sekalian hamba ini. Hanya kita hamba ini saja yang tidak berapa mahu ambil tahu, walaupun telah diberitahu tentang segala apa yang patut diketahui.

Kenapa nasibku begini? Malang sunyi, sentiasa dilanda kecewa dan Ahh, sebuah keluhan dilepaskan. Adakah ini bunyi sebuah keluhan seorang hamba yang tak pandai bersyukur? Adakah ini keluh-kesah seorang hamba yang putus asa dengan hidupnya? Adakah ini rintihan dan ratapan seorang hamba yang tidak redha terhadap ketentuan Maha Pencipta? Segalanya mungkin, dan kemungkinannya juga ungkapan seperti ini pernah kita lafazkan!

Soalnya kenapa? Jawabnya, kerana apa kita hamba ini diciptakan oleh Maha Pencipta. Kita sekalian hamba ini boleh saja melontarkan sejuta satu persoalan, tapi sedarkah kita bahawa segala jawapan telahpun tersedia. Cuma, kita hamba ini saja yang buta! Yang melihat dengan mata, tapi tak nampak satu apa benda!

Kita hamba ini mahukan bahagia sepanjang masa, tapi kenapa pula dihadiahkan dengan derita? Tarik nafasmu dalam-dalam kemudian pejamkan mata apabila kau menyedari bahawa ketika ini kau berdiri di atas muka bumi yang tiada kekalnya, maka kau akan mampu mencari jawapannya. Kita sekalian hamba ini dihantar menghuni dunia untuk diduga. Maha Pencipta sudah berjanji tentang imbuhan-imbuhan yang akan diberi-Nya. Namun, percumakah segalanya? Kita harus buktikan kesetiaan, kita harus tunjuk sifat kehambaan kepada Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Hidup dan kehidupan ini sering kita gambarkan sebagai indah. Tahukah kau bagaimana keindahan sebenar dalam hidup dan kehidupan ini? Cukupkah kau gambarkannya dengan memiliki harta menimbun sebagai hidup yang indah? Bukan! Bukan itu dan bukan di situ indahnya!

Sesuatu yang indah mesti seimbang dan mempunyai imbangan - Ada Pro ada Kontra. Makanya, kehidupan yang indah adalah apabila kebahagian itu disulami dengan derita - sebagai sebuah sentuhan hikmat agar kita tak alpha untuk selamanya. Kita perlu merasa duka setelah kita diberi kegembiraan - Agar kita tak terus ketawa sampai tak ingat dunia! Bukankah dalam hidup dan kehidupan ini segalanya berpasang-pasangan? Jadi, keindahan dalam hidup itu berlaku apabila kita mampu melengkapkan setiap pasangannya.

Namun, hakikat kita hamba ini lain benar mahunya. Mahu senang, mahu ketawa, mahu gembira sepanjang masa! Jika begitu yang sering kau fikirkan, tarik nafasmu dalam-dalam kemudian pejamkan mata. Pertama-tama, ingatlah bahawa kau kini berpijak di alam fana bukannya di syurga! Kehidupan alam fana inilah nanti yang menentukan kehidupan kekalmu.

Untuk kesekian kalinya tarik nafasmu dalam-dalam sebelum nanti kau tidak akan bernafas lagi, kemudian pejamkan matamu rapat-rapat sebelum ia terpejam selamanya lalu, tidakkah kau syukuri dengan apa yang telah diberikanNya selama ini?

Jangan kau ratapi nasib sendiri..
Jangan kau tangisi kehilangan yang dialami..

Syukur atas apa yang diberi..
Redha dengan apa anugerah yang diberikan oleh ilahi..
Sesungguhnya Dia Maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba2Nya..

Wallahuwa'lam..

No comments: