Friday, November 6, 2009
Anda murung? Resah gelisah? Jiwa kosong? Baca ini…
Jangan bermuram durja kerana ianya amat bahaya! Hari ni saya nak share sedikit statistik. Statistik apa ye? Statistik Penyakit Kemurungan (Depression).
Berikut merupakan statistik yang saya perolehi daripada pelbagai sumber yang sedia ada:
Kajian juga mendapati setiap hari purata tujuh kes bunuh diri berlaku di negara ini dengan jumlah keseluruhan 2,000 kematian bunuh diri setahun kerana gangguan mental, berbanding sejuta kes bunuh diri setahun di seluruh dunia.
Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Mental Sedunia pula, lebih 20 peratus kanak-kanak dan remaja di dunia ini merana akibat penyakit mental dan tiga hingga empat peratus daripadanya memerlukan rawatan yang rapi (Khairina Yasin, 2007).
Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa empat penyebab utama masalah kesihatan mental adalah kemurungan, keresahan, insomnia dan bunuh diri.
WHO turut menyatakan ramalannya menjelang tahun 2020 bahawa kemurungan akan berada di tangga kedua teratas penyakit selepas penyakit jantung koronari.
Statistik daripada Persatuan Kesihatan Mental China pula menunjukkan tindakan bunuh diri merupakan pembunuh nombor satu dalam kalangan remaja dan anak muda berusia 15 hingga 34 tahun di China. Menurut data Kementerian Kesihatan China pada 2003, terdapat lebih 250,000 perbuatan bunuh diri dan dua juta cubaan membunuh diri berlaku.
Kajian oleh Universiti Beijing itu terhadap 141 580 pelajar sekolah tinggi, satu daripada lima orang, berkata mereka pernah memikirkan tindakan untuk membunuh diri dan 6.5 peratus pernah merancang bagaimana untuk membunuh diri (Tham Choy Lin, 2007).
Rosliwaty Ramly, 2005 mendapati kadar prevalen kemurungan dan keresahan adalah 11 peratus dan ini telah meningkat kepada 18.8 peratus pada 2001 (Kajian Beban Penyakit oleh Mental Health Working Group). kemurungan berlaku di kalangan mereka yang berumur 19 - 59 tahun di mana kejadian di kalangan wanita adalah 1.5 kali lebih tinggi daripada lelaki. Masalah kesihatan mental juga menyumbang kepada 8.6 peratus beban keseluruhan penyakit.
Rosliwaty Ramly (2005) menyatakan statistik di Malaysia menunjukkan purata tujuh orang mati saban hari atau berdasarkan statistik tahun 2004.
Menurut Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri pada setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.
13.7 peratus remaja di negara ini terutamanya pelajar, menghadapi masalah mental hingga boleh membawa kepada perbuatan membunuh diri (Bernama, 15 Nov 2006).
Kementerian Kesihatan pula, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari (Tam Cai Lian, 2007).
Bagi setiap kes bunuh diri atau percubaan membunuh diri, terdapat seramai 20 orang sama ada ahli keluarga atau kawan mangsa akan terjejas dan terkena kesan secara langsung atau tidak.
10 peratus daripada rakyat Malaysia didapati menghidap penyakit mental dan peratusan ini dijangka meningkat dari tahun ke tahun.
Kajian Universiti Malaya (UM) di beberapa sekolah di Kuala Lumpur, Kelantan, Johor, Selangor dan Pulau Pinang 20 peratus daripada pelajar terbabit mengalami masalah kesihatan mental tanpa menyedarinya. Kajian tersebut mendapati lima hingga sembilan peratus daripada pelajar yang ditemui menunjukkan tanda kekacauan emosi seperti kemurungan. 13 peratus daripada mereka berada di tahap kritikal dan jika tidak diatasi segera, mereka ini boleh terdorong untuk membunuh diri (Khairina Yasin, 2007).
Dasyat kan? Jika di Barat, penyakit kemurungan ini merupakan perkara biasa berlaku. Namun, di Malaysia dan juga di Asia, penyakit ini tiba-tiba meningkat dengan mendadak. Banyak punca yang menyebabkan kemurungan. Antaranya penyebab kemurungan seperti perpisahan dengan orang yang tersayang, kegagalan menghadapi cabaran kehidupan seharian dan sebagainya. Namun, menurut kajian yang rakan saya jalankan, kemiskinan atau SES yang rendah merupakan fokus utama.
Emm…memang kemiskinan boleh membawa kepada kemurungan. Pernah dengar tak Sabda Nabi Muhamad S.A.W bahawa kefakiran itu boleh menjerumuskan seseorang itu ke arah kekufuran. Kalau tersilap harap perbetulkan. Dan, ternyata apa yang disampaikan oleh baginda itu benar belaka. Bila dah miskin, jika kita tak mampu nak berdepan dengan kemiskinan tersebut, berkemungkinan kita akan berasa tidak redha, merungut dan mengeluh.
Terlupa bahawa kemiskinan itu adalah satu ujian. Bila tidak redha dan sabar, lama-lama datanglah penyakit hati seperti resah gelisah, dengki mendengki, murung dan sebagainya kerana ketidakcukupan fisiologi. Bila dah datang penyakit hati tu, antara lainnya dekatlah dengan bisikan syaitan yang menyuruh melakukan kemungkaran seperti mencuri, membunuh diri dan sebagainya.
Penyakit yang membabitkan jiwa insan bukanlah hanya semata-mata berkait dengan masalah dalam kehidupan seharian. Manusia akan kekal berhadapan dengan masalah sehingga ke akhir hayat.selagi mana kita mempunyai nafas untuk bernyawa,tidak mungkin kita mampu lari dari masalah.Namun agama membimbing kita untuk mengisi setiap kekosongan dalam jiwa insan.
Kekusutan dalam menghadapi masalah juga sebenarnya mempunyai hubung kait dengan jiwa kekontangan iman di dalam diri yang mampu membimbing setiap insan untuk berdepan dengan masalah. Iman dan ilmu agama itu perlu dijadikan kompas dalam ke arah mana perlu kita bertindak ketika berdepan dengan masalah yang datang.
Ya,Allah SWT menyuruh kita berusaha dengan kadar daya yang termampu yang boleh mengeluarkan kita dari kekusutan yang melanda. Namun terkadang kita terlupa erti menyerahkan diri kepada Allah dalam erti kata mentauhidkannya dengan sebenar-benarnya.
Jiwa yang kosong tidak berisi itu biasanya akan menyebabkan seorang insan lebih terjerumus untuk memikirkan apa yang tidak benar mengenai qada’ dan qadar ilahi.
Jauh dari itu Syaitanlah yang akan mula mencari ruang-ruang yang kosong itu untuk dimasukinya. Oleh itu kembalilah kamu ke jalan Allah dengan erti “benar-benar beriman denganNya”. Tiada yang lain Maha Berkuasa melainkan Allah Azza Wajjal. Isilah setiap ruang di dalam hatimu itu dengan iman.
Sesungguhnya itulah penawar paling mujarab dan ubat yang akan menyelamatkan kamu di dunia dan di akhirat. Bulatkanlah hatimu hanya kepadaNya yang Maha Esa ketika kamu berdepan dengan ujian yang diberikanNya. “Sesungguhnya,Allah SWT tidak akan menguji mana-mana manusia itu melainkan Dia mengetahui kamu mampu melaluinya”.
Wallahu’alam..Wassalam..
Artikel adalah hasil nukilan : Saudara Rosli Hanip
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment