Monday, November 9, 2009
TERJAH : SISWA UNIVERSITI BELAJAR LAIN,KERJA LAIN
Fenomena kekurangan pekerjaan sudah dimaklumi oleh kita semua. Sehinggakan sekarang ini, bukan sahaja mereka yang berpendidikan rendah sahaja tidak mempunyai pekerjaan, bahkan mereka yang berpendidikan tinggi pun tidak mempunyai pekerjaan. Keadaan inilah yang sebenarnya menyebabkan siswa universiti akan merebut apa sahaja jenis pekerjaan yang boleh mereka lakukan walaupun bidang itu bukanlah bidang pelajaran mereka semasa di universiti. Trend ini semakin menular. Kita boleh melihat bagaimana seorang yang mempelajari Sains Biologi di universiti akhirnya menjadi seorang ejen takaful, seorang yang belajar Pengajian Islam di Mesir akhirnya bekerja di bank dan seorang yang mempelajari Kejuruteraan Mekanikal di universiti akhirnya berniaga sendiri. Perkara ini sudah menjadi satu kebiasaan. Hinggakan saya sendiri, yang berkelulusan B.Sc. Genetics and Molecular Biology akhirnya memilih untuk berniaga sendiri dalam bidang Rekabentuk Laman Sesawang dan Perniagaan Internet sebagai keperluan hidup.
Pernah juga saya ditanya orang, "Dulu di U kau belajar IT ke?".
Biasanya jawapan saya ialah, "Tak, saya belajar Biologi dulu. Yang ni belajar sendiri".
Ada juga yang bertanya, "Kau tak mahukah cari kerja yang sama dengan bidang kau tu?".
Antara jawapan saya, "Susah nak dapat kerja tetap dalam bidang tu. Persaingan ramai. Yang ada pun kontrak je. Penat belajar lama-lama asyik kerja ikut kontrak je. Elaun pun rendah. Tak berbaloi dengan sijil kita".
Kadangkala saya menjawab, "Sekarang ni aku dah tak minat lah dengan bidang tu".
Kadangkala jawapan saya, "Yang aku buat sekarang ni pulangan lagi banyak. Kalau aku cari kerja bidang aku ni, nanti tak boleh tumpu untuk buat macam sekarang".
Ada pula orang bertanya, "Kau tak rasa sia-sia ke sijil yang kau ada tu?"
Inilah soalan yang selalu orang fikirkan terhadap orang yang belajar lain, kerja lain. Biasanya orang tua kita akan fikir macam tu. Ataupun orang dewasa, atau orang yang berjaya mendapat kerja mengikut bidang yang dipelajarinya di universiti.
Sebenarnya saya tidak pernah merasa sia-sia sijil yang saya ada. Bahkan saya rasa berbangga berjaya menghabiskan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti dan berbangga mempunyai sijil seperti itu. Tidak pernah sekali pun saya merasakan sia-sia masa saya habiskan sejak kecil hingga ke universiti.
Namun perlu diingatkan kepada semua orang Islam, bahawa bukan sijil kita yang menjamin rezeki. Yang memberi dan menjamin rezeki kita adalah Allah S.W.T. Kita hanya berusaha dan berikhtiar mengikut cara Nabi S.A.W, yang memberi keputusan ialah Allah S.W.T.
Nah! Sekarang sudah terbukti, bak kata pepatah melayu, sudah terang lagi bersuluh, atau pepatah yang lain, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina. Sekarang sudah jelas di depan mata kita bahawa bukan sijil yang menjamin rezeki.
Bagi saya, pendidikan adalah satu saluran bagi melatih minda seseorang itu supaya lebih fokus dan memahami apa yang boleh dicapai oleh dirinya sendiri. Misalnya seseorang yang sejak kecil meminati sains, sehingga sekolah menengah dia akan cuba memasuki aliran sains. Namun pendidikan hanyalah satu saluran.
Berkemungkinan semasa di sekolah menengah, dia menyedari bahawa dirinya tidak mampu untuk membawa aliran sains, maka dia sepatutnya bertukar ke aliran sastera misalnya. Demikianlah yang sering berlaku. Kita akan membuat keputusan, kemudian menukar keputusan dan kemudian menukar lagi, mengikut keadaan dan situasi.
Inilah juga yang berlaku kepada siswazah-siswazah di luar sana. Bukannya mereka tidak mahu pekerjaan yang selari dengan bidang mereka, namun situasi semasa serta desakan hidup menyebabkan kadangkala kita terpaksa mengubah keputusan.
Yang pastinya ialah, semua yang sedang belajar, mestilah belajar kerana agama Allah dan setelah habis belajar, mestilah bekerja juga kerana agama Allah. Jika niat kita ikhlas, buat lah apa jenis pekerjaan pun yang halal, pasti akan mendapat redha dariNya. Bukankah itu yang lebih utama? Jangan mengukur kejayaan seseorang itu dengan harta. Sebaliknya ukurlah pada agama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment