sewaktu pulang daripada suatu gerakan ketenteraan Rasulullah s.a.w pun berhenti bermalam di suatu tempat. Baginda bertanya, "Siapakah yang akan menjaga khemah pada malam ini?" Ammar bin Yasir r.a daripada Muhajirin dan Abbad bin Bishir r.a menawarkan khidmat mereka. Mereka berdua ditugaskan berkawal di sebuah bukit supaya menyekat kemungkinan ada serangan mendadak pada waktu malam.
Abbad berkata kepada Ammar, "Marilah kita berkawal dengan tidur bergilir-gilir. Pada sebahagian malam aku akan berkawal sedangkan kamu pergilah tidur. Pada sebahagian yang kemudiannya kamu pula berkawal sambil aku pergi tidur."
Ammar r.a bersetuju lantas pergi tidur sementara Abbad memulakan solatnya. Musuh telah terbau kehadirannya di dalam gelap-gelita tersebut lalu melepaskan anak panah ke arahnya. Beliau diam tidak bergerak-gerak dan sebilah anak panah dilepaskan lagi ke arahnya dan kemudian sebilah lagi. Setiap anak panah yang mengenainya dicabutnya dan akhirnya beliau menggerakkan sahabatnya. Melihat mereka, musuh itu pun lari kerana takut mungkin ramai yang muncul. Ammar melihat darah keluar daripada tiga tempat di badan Abbad lalu berkata, "Subhanallah! Mengapa kamu tidak gerakkan daku lebih awal?"
Abbad menjawab, "Aku baru mula membaca Surah Kahf di dalam solatku. Aku tidak mahu memutuskan bacaanku tetapi apabila anak panah yang ketiga mengenaiku, aku berasa bimbang mungkin kematianku membahayakan Rasulullah s.a.w lalu akupun menyudahkan solatku serta menggerakkanmu. Kalau tidak takutkan demikian, pasti aku tidak akan rukuk sebelum habis surah tersebut walaupun aku akan terbunuh."
Lihatlah betapa khusyuknya sahabat Rasulullah s.a.w ketika solat. Anak panah demi anak panah tercacak ke badannya dan darah mengalir keluar tidak menghalang keseronokan pembacaan Al-Quran di dalam solat. Sungguh berbeza dengan kita yang hilang tumpuan sebaik sahaja disengat binatang ataupun nyamuk.
Tags: agama
No comments:
Post a Comment