Sunday, November 1, 2009

SEJARAH ADAM DAN HAWA SERINGKALI BERULANG






“Bolehlaa abang ye, kita pergi bukan buat apapun.. setakat tengok jee kemudian lepas habis kita baliklaa” pujuk rayu seorang isteri agar sang suami menurut kemahuannya untuk menyaksikan satu upacara nyanyian dan tari yang telah dia sedia tahu ada pergaulan tanpa batas antara lelaki dan wanita di dalam majlis tersebut. Walaubagaimanapun demi memuaskan hati dan juga kehendak seorang isteri maka sang suami terpaksa melupakan sebentar pegangannya. Itulah bukti Rasa Cinta dan Kasih kepada seorang isteri…

Suatu ketika..

Dua insan yang menghuni syurga. Hidup dengan bahagia berkat kasih sayang langsung dari Tuhan. Adam, manusia pertama diciptakan Allah, tinggal bersama Hawa yang terhasil dari tulang rusuknya. Bertuahnya Adam dihadirkan Hawa disisinya tanda Tuhan Maha Bijaksana. Walaupun begitu keindahan hidup yang dinikmati di Syurga juga punya pantang larangnya. Mereka dibenarkan mengecapi segala kenikmatan yang ada cuma satu sahaja yang perlu dijauhi, sebuah pohon yang bernama khuldi.

Adat hidup bila disayangi. Ada sahaja mata yang memerhati bersama rasa hasad dan dengki. Sebagaimana janji yang telah dibuat dihadapan Allah, Iblis hadir untuk menggoncang rasa taat setia Adam kepada Tuhan. Pelbagai muslihat dilakukan agar buah di pohon larangan menjadi santapan tetapi masih belum mampu merobohkan benteng ketaqwaan yang terbina dijiwa Adam.

Berpunca dari sikap tidak berputus asa sang iblis maka terdetik olehnya untuk menggunakan Hawa. Jiwa lembut Hawa yang merupakan fitrah dari tuhan telah termakan dengan tipudaya sang iblis. Maka Adam segera ditemui bagi menterjemahkan hasrat di hati, pohon Khuldi mesti didekati. Demi rasa kasih dan sayang pada wanita yang dicintai akhirnya Adam tewas sehingga terlerai ikatan janji yang dibuat dengan Maha Pencipta.

Itu sekadar cebisan kisah sejarah Bapa kepada seluruh umat manusia. Tragedi yang hampir sama juga kerapkali berulang sehingga kini. Loophole yang terdapat di jiwa lelaki bilamana dipujuk rayu oleh wanita yang dicintai dipergunakan sepenuhnya oleh Iblis dan Syaitan dalam usaha membawa mereka kearah kesesatan.

Kerana rasa cinta dan kasih Adam terhadap Hawa, mereka berdua terlontar ke Dunia. Tetapi apakah kita mahu rasa Cinta dan Kasih itu juga yang akan mengheret kita ke Neraka? Rasa Cinta dan kasih yang telah menenggelamkan kewarasan dan menghilangkan pertimbangan. Rasa Cinta dan kasih yang telah membutakan mata ramai kaum Adam.

Apakah ini yang dikatakan bahawa Cinta itu Buta?

Tags: agama

No comments: