Sunday, October 25, 2009

Naluri Bunuh diri


LELAKI bujang atau perempuan bujang yang tinggal sendirian, menghadapi tekanan masalah kerja dan kewangan mahupun hubungan sosial, mempunyai risiko lebih tinggi untuk membunuh diri berbanding lelaki atau wanita berkahwin.

Risiko ini akan berganda jika hubungan kekeluargaan lemah dan mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah, termasuk ecstasy, syabu atau pil kuda.

Bunuh diri adalah jenayah yang ada kaitan rapat dengan kesihatan mental. Kebanyakan kes bunuh diri membabitkan golongan muda (terutama lelaki) yang dikategorikan dalam kelompok umur produktif iaitu antara 15 hingga 44 tahun.

Di seluruh dunia, WHO menganggarkan satu juta orang akan membunuh diri setiap tahun dengan cubaan bunuh diri setiap tiga saat. Keadaan ini membimbangkan kerana masalah tekanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu nekad menamatkan hidup meningkat 10 peratus di seluruh dunia.

Jika diperhati, punca yang membuatkan seseorang nekad membunuh diri berbeza-beza tetapi semuanya boleh dikaitkan dengan tekanan. Malah masalah rumah tangga dan putus cinta juga boleh mendorong seseorang untuk mengambil langkah drastik seperti yang berlaku kepada seorang wanita muda dari Kuantan (yang mahu terjun bangunan kerana berselisih faham dengan suami) dan pelajar lelaki dari Kuala Terengganu mengelar pergelangan tangannya selepas teman wanitanya meminta untuk memutuskan hubungan.

Itu cebisan kecil contoh dan punca bunuh diri. Pada golongan muda, antara punca untuk bunuh diri ialah tekanan, gangguan mental, kemurungan, penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Manakala punca golongan tua membunuh diri biasanya ada kaitan rapat dengan kemurungan, kesakitan fizikal dan penyakit, tinggal sendirian, berasa tidak berguna dan sentiasa dibelenggu rasa bersalah.

Profesor Hussain berkata, banyak faktor risiko yang boleh menyebabkan seseorang hilang punca dan kewarasan hingga sanggup menamatkan riwayat mereka seperti:
•Penyalahgunaan dadah atau alkohol yang diambil untuk menenangkan fikiran atau keseronokan
•Bujang (lelaki)
•Tinggal sendiri
•Bercerai atau berpisah dengan pasangan
•Pernah alami penderaan fizikal atau seksual
•Tidak bekerja/dibuang kerja
•Dibuli (sama ada di sekolah atau tempat kerja)
•Kehilangan orang tersayang akibat kemalangan atau penyakit
•Penyakit mental (terutama kemurungan)
•Tidak mendapat sokongan keluarga
•Menghadapi masalah kewangan

Bagaimanapun, faktor yang boleh merangsang seseorang untuk bunuh diri biasanya sangat kompleks dan lebih daripada satu. Namun kebanyakan kes membabitkan masalah atau gangguan mental.

Kecenderungan membunuh diri kurang pada kanak-kanak berumur di bawah 14 tahun kerana pada peringkat ini mereka belum faham atau tidak mampu melakukannya.

Walaupun kajian menunjukkan lebih ramai wanita cuba membunuh diri, jumlah kematian adalah empat kali lebih tinggi di kalangan lelaki berdasarkan lelaki biasanya menggunakan kaedah lebih nekad dan sukar diselamatkan seperti gantung diri, terjun dari bangunan atau minum racun.

Ini kerana wanita menggunakan kaedah yang boleh diselamatkan (biasanya hanya mencederakan diri sendiri). Mereka juga dikatakan lebih pandai meluah dan mengendalikan perasaan ketika tertekan.

Wanita muda didapati lebih cenderung mencederakan diri sendiri dalam cubaan bunuh diri. Cubaan itu disifatkan sebagai ‘jeritan senyap’ meminta tolong dan bukan mereka benar-benar mahu mati.

Tanda untuk membunuh diri
•Bercakap atau menulis mengenai kematian, bunuh diri atau mahu mencederakan diri sendiri
•Mencari jalan untuk membunuh diri
•Berasa diri tidak berguna
•Berang, kemarahan tidak terkawal atau cuba membalas dendam
•Terasa diri terperangkap dalam dunianya sendiri
•Mengambil dadah atau alkohol berlebihan
•Mengasingkan diri daripada keluarga, kawan dan masyarakat
•Berasa resah gelisah
•Tidak boleh tidur pada waktu malam atau sentiasa memerlukan ubat tidur
•Emosi tidak menentu, berubah dengan mendadak
•Berasa tiada tujuan hidup

“Ada keinginan untuk bunuh diri bermakna seseorang itu mengalami gangguan mental dan masalah emosi. Mereka tidak boleh berfungsi serta menjalankan tanggungjawab secara normal yang menyebabkan hubungan dengan pasangan dan anak turut terjejas.

“Keinginan bunuh diri juga boleh timbul akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol kerana ia boleh merosakkan otak. Kesannya bergantung kepada jenis dadah, contohnya individu yang mengambil ecstasy atau syabu akan mula mengalami kemurungan, keinginan bunuh diri atau psikosis selepas satu atau dua tahun.

“Bukan semua cubaan bunuh diri itu berjaya. Bagaimanapun, kegagalan cubaan kali pertama biasanya disusuli dengan kejayaan pada kali kedua. Ini sebabnya setiap orang perlu peka terhadap kesihatan ahli keluarga mereka,” katanya sempena Hari Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun

Atas dasar pengamatan dan pemerhatian saya selaku pemerhati, kita haruslah kembali kepada fitrah diri. mengenal diri kita dan yang mencipta dan meletakkan kita dalam kandungan perut ibu hinggalah kita keluar dari rahim ibu untuk mengenali dunia fana ini. Untuk mengelak kejadian naluri bunuh ini... lawan nya adalah naluri kasih sayang.. dan seharunya kita kembali pada agama yang diredhaiNya ( iaitu Islam ) kembali menjunjung nilai kasih dan sayang kepada Yang Maha Pengasih dan Penyanyang. - Dr. Cinta

Posted by zamsya - team Scripters.NIng

No comments: