Wednesday, October 21, 2009

TRADISI KEILMUAN MELAYU-SATU RENUNGAN

Insya’ Allah apa yang berikutnya berupa suatu renungan kembali terhadap tradisi keilmuan Melayu dengan aspek-aspeknya yang tertentu dan ciri-cirinya, serta kekuatan-kekuatannya dan juga apa juga yang sebaliknya dengan matlamat untuk menjayakan langkah-langkah keilmuan yang sahih, benar, serta mempunyai nilai kesinambungan dalam peradaban umat ini, di rantau ini.Ini berdasarkan kepada teks-teks yang representative dalam bidang-bidangnya yang berkenaan; juga ianya berupa percubaan untuk melihat bagaimana tradisi keilmuan ini memberi kekuatan untuk menghadapi pemikiran dan pengetahuan masakini.Penulis ini tidak melihat dirinya sebagai pakar yang arif tentang bidang yang dibicarakan ini bahkan ia melihat dirinya hanya sebagai penuntut dalam perkembangan pemikiran Islam di rantau ini, yang ingin melihat kesahihan tradisi keilmuan Melayu-Muslim terpandu, sahih, menghimpunkan, menguatkan, serta menyelamatkan.Allahumma amin.

Tradisi keilmuan:

Maksud “tradisi” di sini ialah sebagaimana yang digunakan oleh mereka yang mengikut huraian falsafah dan metafisika ‘Abd al-Wahid Yahya atau Rene Guenon ialah tradisi keilmuan dalam peradaban atau tamadun yang dipandukan oleh kebenaran-kebenaran dari alam tinggi yang menimbulkan kegiatan-kegiatan spiritual, intellektuil atau kesenian serta kegiatan-kegiatan yang bertalian dengan budaya dari segi kebendaannya berdasarkan kepada kebenaran-kebenaran tersebut.Dilihat dari perspektif ini maka tradisi keilmuan Melayu yang menentukan wajahnya dengan cara yang paling menentukan (dicisive) ialah kebenaran-kebenaran Islam, yang mematangkan bahasanya serta pemikirannya yang tidak pernah muncul sebelumnya, sebagaimana yang tergambar dalam persuratan Islamnya dan juga pegangan dan amalan keagamaannya.Dengan ini berlakulah apa yang disebutkan oleh seorang pemikir yang menyatakan bahawa agama memberikan kepada suatu tamadun itu apa yang paling baik dan mulia dalam budayanya dan budaya itu pula memberi kepada agama itu bahasanya.Ertinya dalam konteks tamadun Melayu, Islam memberi kepada tamadun Melayu apa –apa yang paling mulia dan tinggi dari segi intelektualitinya serta nilai-nilainya dan tamadun Melayu memberi kepada Islam bahasa Melayunya yang menjadi pengucap bagi peradaban Islam di rantau ini.Ini tergambar pula dalam kata-kata yang tepat dean indah itu, iaitu “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syara’ dan Syara’ bersendikan Kitab”.Dan adat itu difahamkan dalam pengertian yang multi-functional dengan aspek-aspeknya yang menyentuh budaya intelektuil, moral social, serta keseniannya.

Tradisi Keilmuan Melayu

Tradisi keilmuan Melayu boleh dilihat terbayang dalam kitab “Sejarah Melayu” yang menunjukkan iltizam umat Melayu kepada agama Islam aliran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, dengan penghayatan hukum Syara’nya tergambar dalam “Hukum Kanun Melaka.”Kehidupan umat di dalamnya merupakan kehidupan yang terdiri daripada kerjasama rakyat, raja dengan para pembesar hulubalangnya, serta dengan alim ulama memainkan peranan mereka dan rakyat jelata dalam kehidupan itu.

Dan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa zaman itu dengan kerancakan perdagangan dan juga perhubungan pelbagai bangsa di dalamnya serta dengan kegiatan dakwahnya.

Dalam tamadun Islam di sana itu minat terhadap agama sangat tertonjol, dan tersebut bagaimana “Kitab Dur al-Manzum” dijadikan perbincangan dan sebutan.

Pada zaman-zaman selepas kejatuhan Melaka kerana rancangan Portugis dan kemunculan kesultanan-kesultanan Islam di Dunia Melayu ini seperti di Aceh, dan Johor termasuk Riau dan Petani menunjukkan kegiatan-kegiatan keilmuan Islam yang menghasilkan teks-teks Islam dalam Bahasa Melayu Jawi dalam beberapa cawangan ilmu-ilmu Islam yang terkenal.

Dengan itu maka muncullah teks-teks yang representative bagi Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang merupakan Islam mainstream yang asal dan benar (“orthodox” dalam pengertian asal dalam Bahasa Yunani) dalam persuratan Melayu dalam bidang-bidang yang berkenaan termasuk dalam penafsiran Qur’an, huraian hadith-hadith, aqidah Ahlis-Sunnah, pemahaman tentang Syari’at berdasarkan kepada mazhab Syafi’I serta ajaran kerohanian seperti yang terdapat dalam teks-teks al-Ghazali, ibn ‘Ata’illlah as-Sakandari dan Abu Madyan al-Maghribi, Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya.Inilah ilmu pengetahuan yang memberi rangka kepada epistemologi Sunni di Dunia Melayu ini.Dan diskusi ilmiah inilah yang memberi keseragaman dalam faham ilmu Sunni di rantau ini, walaupun ada terdapat sedikit sebanyak perbezaan pendapat dalam perbincangan ilmiah di sini, serta dengan mengambil ingatan pula terhadap keberadaan discourse dalam ilmu kebatinan Jawa dengan tradisinya yang tersendiri.Bagaimanapun boleh dikatakan bahawa oleh kerana jasa para ahli ilmu Islam Sunni yang berusaha dengan gigihnya dalam abad-abad ke 17, 18, 19 termasuk abad ke-20, terdapat apa yang boleh disebut sebagai “semantic continuity and homogeneity” –satu kesinambungan semantic dan keseragaman dalam wacana Dunia Melayu Sunni ini.Ini terdapat buktinya dalam penulisan mereka yang terlibat dalam wacana agung yang mengungkapkan wacana agung Sunni berdasarkan teks-teks agung umat ini.

Sekadar menyebut beberapa nama, maka kita boleh nyatakan nama-nama Syaikh Nurddin al-Raniri, Syaikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri, Syaikh Arsyad al-Banjari, Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani, Syaikh Yusuf al-Khalawati, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Daud al-Fatani, Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani, dan Swyaikh Ihsan al-Jampsi dan lain-lainnya yang merupakan pembawa ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang merupakan ajaran yang mendominasi Dunia Islam.Pada penulis ini maka aliran inilah yang perlu diteruskan, diperkuatkan, dipertahankan serta dijayakan di Nusantara dalam menghadapi suasana dan keadaan budaya dan cabaran pemikiran zaman globalisasi ini.

Saya tertarik kepada pemikiran ahli akademik di Cambridge, yang dahulunya mengambil bidang falsafah, kemudian menceburi dunia ilmiah Islam dengan teliti, ‘Abdal Hakam Murad; kata beliau dalam wawancaranya di hadapan menteri pendidikan Bosnia tidak lama sebelum ini:

“Imam Ghazali’s significance is manifold. He not only understood philosophy, but he showed the dangerously speculative nature of its basic premises in a way which anticipates much of modern positivism.This awareness led him to develop a Muslim epistemology rooted in ‘tasting’ (dhauq) i.e. the illuminative fruits of systematic and divinely assisted introspection , as the only sure path to knowledge. This makes him a figure of profound and immediate relevance to Westerners of my generation who often feel that post-modernism and the notion of ‘equality of all discourse’ have thrown humanity into what is in effect, despite all the information cascading from the universities and science laboratories , as a state of ideologically rigorous ignorance .We are now grasping what Ghazali and his school were explaining nine hundred years ago: no universal statements about the world and the human condition can be reached by purely ratiocinative or inductive methods , because these cannot transcend the material context of the world in which they are framed.Ghazali, in short, through his manifesto the ‘Ihya’’ offers the only intellectually rigorous escape from the trap of post-modernity” (http://www.sunnah.org/audio/onghazal/htm)

Yaitu “Kepentingan Imam al-Ghazali ada banyak seginya. Beliau bukan sahaja memahami falsafah, bahkan beliau menunjukkan sifat bahaya segi spekulatifnya pada hakikat premis-premis falsafah yang asasi, dengan secara beliau itu mengantisipasikan banyak dari falsafah positivisme moden. Kesedaran ini membawa beliau membentuk satu faham ilmu Islam yang mengakar dalam ‘rasa’ (pengelaman intellektuil yang sahih-p) (‘dhauq’) yaitu yang merupakan buah-buah hasil introspeksi dalaman secara sistematis dan dengan bantuan ilahiah , sebagai satu-satunya sahaja jalan untuk mencapai ilmu. Ini menjadikan beliau sebagai suatu peribadi yang relevan secara mendalamnya serta segera masa ini juga bagi Orang-Orang Barat dari generasi saya yang kerapkali merasakan bahawa faham pascamodenisme dan tanggapan tentang ‘persamaan bagi semua jenis wacana’ sudah melemparkan umat manusia, secara amalinya, walaupun banyaknya maklumat yang mencurah-curah keluar dari universiti-universiti dan makmal-makmal sains, ke dalam suatu keadaan, secara ideologinya yang berupa kejahilan dengan cara sedemikian bersungguh-sungguhnya.Kita sekarang ini mula menangkap memahami apa yang Ghazali dan alirannya bicarakan sembilan ratus tahun lalu: tidak ada kenyataan yang bersifat sarwajagat tentang alam dan situasi manusia boleh dicapai hanya secara pemikiran rasional atau induktif (ratiocinative or inductive methods) , kerana ini semua tidak mampu mengatasi konteks alam kebendaan yang di dalamnya kenyataan-kenyataan itu diciptakan.Ringkasnya, Imam Ghazali melalui manifestonya Ihya’ membentangkan jalan keselamatan yang satu-satunya dari perangkap pascamodenisme.”(http://www.sunnah.org/audio/onghazal.htm).

Yang menarik hati saya ialah pemikir semasa dari alam falsafah Barat ini boleh melihat bagaimana dalam wacana klasik dari seorang hakim Ahlis-Sunnah umat ini ada panduan intelektuil dan rohani serta moral yang relevan, untuk Orang Barat generasinya, tanpa keperluan memilih jalan yang disebut sebagai ‘.liberal’ sebagai jalan yang dituntut oleh intelektualiti manusia.

Bertolak dari pegangan dan kefahaman bahawa idea-idea dan teori-teori bila sampai kepada tahap tertentu yang parasnya universal bagi sesuatu umat, di sini umat Islam, dan umat Melayunya yang memiliki Islam Sunni, maka ia menjadi baku, sebagai penghabluran intellektuil dan rohani dalam tamaddun yang sedemikian itu, dan mendapat kebakuannya.Dengan itu ia terjalin dengan apa “yang asal” dan apa “yang menengah”nya.

Persoalan-persoalan

Maka melalui cara memahami persoalan dalam rangkaian makna-makna sedemikian, kita dituntut untuk berpegang kepada kebenaran keyakinan Sunni ini berkenaan dengan Tuhan, dan bagaimana huraian tentangNya (sifat-sifatNya, Perbuatan-Perbuatan Nya, nama-namaNya, hubunganNya dengan alam dan manusia) mengikut ajaran asal ini, tanpa keprluan untuk mengubahnya melainkan anak-anak kuncinya boleh berubah; mungkin ada keperluan untuk menyebut teori quantum dalam hubungan dengannya, atau teori tentang “big bang”, atau “black holes” atau apa sahaja yang difikirkan sesuai dengan perimeter intelektuilnya; tetapi soal-soal pokok akidahnya kekal sama, dengan kebenaran asalnya dan kesinambungannya dengan wacana teologi Sunni itu.Tidak ada keperluan untuk menyemaknya dengan alasan tuntutan intelektuil, menganggapnya sebagai separuh benar, atau benar apa yang bercanggah dengannya. Tidak perlu kita kepada pluralisme dalam aspek demikian.Kalau tidak maka hilang maknanya semantik Sunni tentang Tuhan dan yang berkaitan dengannya. Tikdak perlu pula disebut yang berlawanan dengannya adalah benar, kalau tidak semantic Qur’an tentang konsep tauhid dengan cirri-cirinya tidak ada makna lagi; juga konsep yang batil juga tidak ada maknanya lagi.Ini menimbulkan kekacauan intelektuil dan rohani. Ia menimbulkan fragmentasi intelektuil, moral dan tindak laku manusia; dan akhirnya memecahkan dan meleburkan tamadun manusia sebenarnya.

Tentang nabi seperti nabi s.a.w. juga tidak ada keperluan untuk kita mengubahnya dalam system ilmu Dunia Melayu Sunni ini dengan konsep yang lain daripada yang sudah ada dalam teks-teks teologi yang baku baik dalam Bahasa Melayu atau lainya di kalangan Muslimin; semantiknya sudah baku, sahih, diakui ijma’; ianya insan kamil, yang perjalan hidupnya sunnah contoh dan tauladan dalam panduan-panduan agama dan kehidupannya; tidak perlu kita kepada aliran menolak Sunnah dengan alasan ia dari banyak abad yang lalu; ia bersifat normative sebab ia datang dari insan yang berupa norm.

Ringkasnya apa yang baku dan sahih dalam pegangan Sunni ialah antaranya yang disenaraikan dalam Alfarq bainal-Firaq oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam bahagian akhir kitabnya itu.Dan ini disebut-sebut dalam teks-teks Sunni di Nusantara dengan pelbagai cara dan hujahnya mengikut teks-teks baku Sunni lainnya..

Dalam hubungan dengan Kalam Tuhan iaitu Qur’an, ini sudah selesai kaedah-kaedahnya disenaraikan oleh para ulama mengikut bahasa Arabnya, sasteranya, riwayat hadithnya, akidahnya, hukum-hakamnya, nilai-nilai moralnya, ta’wilannya serta tafsirnya, juga sejarahnya. Sifat tunduk kepada tradoisi ilmiah Sunni dalam tafsir moden boleh dilihat pada Qur’an, Text, Translation and Commentary karangan almarhum ‘Abdullah Yusuf ‘Ali yang masih klasik sampai sekarang selepas lebih setengah abad.Itu perlu diteruskan mengikut kaedah-kaedahnya, dengan tambahan-tambahan berkenaan dengan maklumat-maklumat baharu dan penemuan-penemuan baharu, dengan terus menerus berpegang kepada apa yang baku dalam, methodologinya itu.Kalau di Dunia Melayu ia dihuraikan oleh mufasir seperti ‘Abd al-Rauf Fansuri dengan Baidawi Jawinya sampai kepada Al-Qur’an dan Terjemahannya oleh Departmen Agama di Jakarta dan Pimpinan Ar-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam hubungan dengan Syari’at, maka ini berlaku penghablurannya mengikut ijma’ dalam empat mazhab Sunni, dan keperluannya itu tertunai dalam umat kerana diijma’kan bahawa mujtahid (dengan darjah-darjah kemampumannya serta bidang-bidangnya) yang melakukan yang demikian, kerana suruhan Qur’an supaya orang bertanya kepada ahli ilmu jika seseorang itu tidak mempunyai pengetahuan.Orang yang mampu berijtihad sebenarnya haram hukumnya mengikut orang lain. Pintu ijtihad sentiasa terbuka untuk mujtahid, bukan untuk orang lain; kalau dalam pengertian mengadakan hukum-hukum dengan fatwa-fatwa, maka itu sentiasa berlaku.Hanya sekarang timbul keperluan bergabung tenaga – kerana keadaan dan sejarah- antara ilmiawan dan faqih supaya boleh diadakan hukum-hukum yang tepat dengan keperluan zaman. Itupun tidak melepaskan orang awam daripada kewajipan mengikut mujtahid atau ahli fatwa yang ada kredibiliti keilmuan dan peribadi.Dan ini bukan hanya ditandai dengan ijazah sahaja.

Tentang seruan hendak merobah seluruh system Syariat supaya sesuai dengan zaman- sebagaimana yang biasa terdengar dari kalangan “yang liberal”, dari segi tuntutan intelektuil itu sukar dipertahankan, sebab hukum-hukum itu dari segi yang terbanyaknya tidak memerlukan perubahan; tentangt ibadat, hidup kekeluargaan, muamalah, pesaka, itu relevan kedudukannya; mungkin yang perlu diberi pertimbangan lagi ialah tentang jenayah kerana tiada kemampuan Muslimin menjayakannya kerana kurang persediaan dan kerana siasah antarabangsa dan gangguan-gangguannya.Banyak aspek-aspek muamalah yang boleh dijayakan. Tentang soal budaya, maka banyak perkembangan-perkembangan yang boleh difikirkan, tanpa tunduk kepada budaya sensate Barat yang nampaknya sangat kurang batasannya itu, yang banyak memihak kepada kelemahan psikologi manusiawi.

Berhubung dengan kedudukan wanita dalam Syariat, maka tanpa tunduk melulu kepada feminisme Barat, kedudukan mereka perlu diberi penegasan kembali dengan kedudukan mereka yang “complementary” dengan lelaki, dengan peranan-peranan yang menasabah dengan kewanitaan mereka. Perlu juga dibezakan antara apa yang bersifat kebiasaan-kebiasaan masyarakat dengan apa yang dituntut oleh Qur’an, Sunnah dan ijma’ tentang kedudukan dan fungsi mereka dalam keluarga dan masyarakat. Hak-hak mereka dalam pendidikan, dalam masyarakat, dan kepimpinan dalam kadar keharusannya, ada tempatrnnya.Pemingitannya secara total sudah tentu tidak ada tempatnya dalam Syariat Islam. Syariat tidak boleh terpisah daripada hidup kerohanian dan moral sebagaimana yang jelas dalam Qur’an dan Sunnah serta ijma’. Usaha untuk memisahkan “legality” kesahihan dari segi undang-undang dengan hidup kerohanian dan moral, itu tidak boleh dipertahankan dari segi Islam.

Serangan-serangan terhadap hidup kerohanian dalam Islam, termasuk serangan-serangan terhadap tasawwuf dan tarikat adalah seruan-seruan yang tidak ada hujahnya yang teguh. Kalau dikatakan hidup kerohanian dan tasawwuf tidak daripada Islam, maka bukti Qur’an, Sunnah dan ijma’ serta sejarah kerohanian dan teks-teks muktabar oleh ahlinya menunjukkan bahawa ianya authentik daripada Islam. Persamaan-persamaan dengan tradisi –tradisi lain dalam perkara-perkara tertentu tidak membuktikan peminjaman , sebagaimana persamaan wajah matahari dalam sastera dunia tidak menjadi dalil bahawa berlaku peminjaman dalam sastera dunia dalam perkara berkenaan itu.Soalnya ialah “coincidence of perspective”, perspektif yang berkebetulan sama.Dalam zaman ketandusan spiritual seperti sekarang semakin manusia memerlukan perjalan rohani dalam agama dan bukannya penapian hidup kerohanian.Penapian itu akan membawa manusia mencari-cari apa yang bersifat “pseudo-spiritual” atau kerohanian palsu yang mencelakakan.Dijauhkan Allah.

Serangan terhadap peribadi-peribadi kerohanian oleh setengah pihak sebagai sesat atau terkeluar dari agama dan iman, dijauhkan Allah, adalah fenomena yang timbul bertalian dengan beberapa perkara: sikap tidak mahu tunduk kepada epistemology kerohanian yang ada otoritasnya dengan mengangkat diri sendiri sebagai otoritas, sikap tidak mahu memahami peristilahan mengikut apa yang disepakati oleh pihak yang berwenang di dalamnya (bertalian dengan hal mula-mula), sikap tidak mahu meneliti teks-teks secara menyeluruh dan melihat maksud secara menyeluruh dalam aliran-aliran tertentu, katakanlah dalam hubungan dengan ibn ‘Arabi rd dan mereka yang sepertinya.Juga ini bertalian dengan sikap mahu menggunakan methodology dalam satu disiplin ilmu kepada ilmu lain, misalnya metodologi hadith untuk berbicara berkenaan dengan pengelaman dhauqiah dalam perkara kerohanian dan menolak mereka yang dianggap otoritas di dalamnya.Juga ini bertalian dengan sifat fanatik dengan pendapat beberapa orang tertentu yang doifikirkan otoritas yang boleh menghukum semua orang, tanpa mengambil kira eptstemologi Sunni secara total dan integrated.Misalnya orang yang terpengaruh dengan ibn ‘Abd al-Wahhab yang memukul ratakan para ulama dan fuqaha serta pengikut mereka sebagai berada dalam kesesatan atau kekufuran, dijauhkan Allah, dengan menggunakan ayat yang bermaksud “Mereka mengambil rahib-rahib dan ahli-ahli hukum agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah”( al-Taubah:31), walhal ayat itu ditujukan oleh al-Qur’an kepada pihak Ahli-Kitab yang menyeleweng.Yang menyelamatkan ialah sikap menerima epistemology Sunni secara total dan integrated mengikut teks-teks yang representative dalam bidang-bidang berkenaan sebagaimana yang ada dalam sejarah keilmuan umat ini, dengan kewaspadaan intelektuil tentang perkara-perkara yang sahih yang baharu muncul dalam perkembangan budaya ilmu.

Seruan untuk menolak Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, mungkin kerana sikap hendak menjayakan sains dan teknologi, itupun satu sikap yang sukar dipertahankan, sebab faham ilmu Sunni tidak menolak sains dan teknologi yang bermenafaat, bahkan menerimanya. Wacana Sunni yang mengambil kira semua ilmu yang berfaedah dalam sejarah intelektuil Sunni ialah misalnya al-Muqaddimah karangan klasik oleh ibn Khaldun itu.Dan Islam dalam sejarahnya yang paling lama adalah bersifat Sunni bukan Mu’tazilah misalnya. Keperluan untuk menolak Ahlis-Sunnah dengan hujah demi bagi menjayakan pengetahuan adalah hujah yang sukar dipertahankan.

Dalam hubungan dengan pengetahuan-pengetahuan yang selain daripada bidang keagamaan maka sikap Sunni ialah menerima mana-mana ilmu pengetahuan yang berfaedahh termasuk sains dan teknologi, termasuklah kalau sekarang, teknologi maklumat dan komunikasi, serta bahkan bioteknologi bila ianya sangat berfaedah untuk umat.Sikap ini terbentuk oleh sejarah dan ajaran yang timbul daripada kenyataan hadith misalnya yang bermaksud “Hikmah kebijaksanaan itu barang hilang orang mukmin, dan di mana ia bertemu dengannya ia berhak terhadapnya”. Dan dalam Faid al-Qadir syarah al-Jami’ al-Saghir, Imam al-Munawi rh menyebutkan bahaimana mantik digunakan oleh Muslimin walhal ianya berasal dari cabang falsafah Yunani Purba.

Dalam hubungan dengan ilmu-ilmu yang selain daripada bidang agama kita boleh camkan pandangan seorang ulama tradisional dalam abad ke 19 yang meninggal di awal abad ke-20, kata beliau dalam teksnya Hadiqatul-Aqzhar (hlm.19 dst. Edisi Wan Mohd Saghir Abdullah, Kuala Lumpur, 1992):

“Ketahui olehmu bahawa ahli negeri yang besar-besar yang lain daripada bangsa kita sangat me(ng)amat-amati dengan sya’n (kepentingan perkara-p) ilmu dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan anak-anak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekalipun; dan me(ng)usaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala-gala orang yang gemar (ke)padanya dengan sekelian jalan dan tipu (iaitu helah dan ikhtiar-p) hingga meringkah (iaitu membuat rekaan-p) mereka itu pada mengecapkan segala kitab yang boleh keluar beberapa ribu-ribu naskhah dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau disurat dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum sudah satu naskhah dan membina mereka itu akan beberapa banyak madrasah yaitu rumah tempat mengajar dan mengaji segala ilmu dan (ber)bagai-bagai hikmat dan kepandaian yang bergantung dengan dunia dan akhirat mereka itu.”

Kemudian beliau menyebut tentang apa yang berlaku di Mesir , Turki dean lainnya berkenaan dengan kemajuan pengetahuan:

“Maka kasih hamba bahawa memperikan kepada kamu akan setengah (daripada) barang yang berlaku pada negeri Istanbul dan Mesir dan lain daripada keduanya pada me(ng)amat-amati dengan ilmu >Adalah raja-raja mereka itu membinakan bagi mereka itu beberapa madrasah yang besar-besar dan dihiasikan dengan segala (per)hiasan yang sangat indah pada segala mata dan cenderung kepadanya oleh segala hati lagi jadi bersih dengan dia cerdiknya dan gemar oleh segala akal pada menuntuti segala ilmunya.Demikian lagi orang yang kaya-kaya membina mereka itu pada tiap-tiap kampung mereka itu satu-satu madrasah atau lebih dan dihiaskan dia dengan segala (per) hiasan yang elok dan diwakafkan baginya beberapa daripada bumi atau rumah atau lainnya dan diambilkan sewanya dan dibelanjakan dia pada maslahat segala madrasah itu dan digaji dengan dia akan segala guru-guru yang mengajar dengan kadar yang mencukupi akan mereka itu dan disukakan dengan dia akan segala mereka yang menuntuti ilmu kecil dan besarnya dan dalam tiap-tiap Jumuaat itu satu hari dicuba padanya akan tiap-tiap tilmidh (yaitu murid-p) daripada mereka itu pada barang yang ia hafazkan dia dan barang yang difahamnya dan barang yang didapatnya daripadea segala masalah dan kepandaian dan kebijakan (yaitu sifat bijak dan pandainya-p) di dalam perhimpunan segala taulannya ; maka jika dapat dijawabnya dapatlah ia kepujian daripada guru-gurunya dan orang ramai-ramainya, dan suka dengan dia segala hati ibu bapanya dan dapat ia perbalasan gaji yang lebih dan jika tiada dapat dijawabnya bersungguh-sungguh ia hingga dapat supaya tiada jadi malu ia antara segala kawan-kawannya dan supaya dapat gaji yang lebih seperti mereka itu.Maka bermegah-megah mereka itu setengah atas setengah(nya) dengan elok khat (atau tulisan-p) dan banyak lagu dan pandai menulis dan cempat (iaitu “cepat”) ber(h)itung dan elok aturan surat kiriman dan peteh (yaitu petah-p) membuat syair dan fasih percakapan dan pandai bertutur dengan beberapa bahasa yang lain daripada bahasa negerinya dan banyak hafaz dan bijaksana pada segala ilmu dan kepandaian pada hal ia belum baligh umurnya barang yang tiada dapat seorang kita pada hal umurnya sudah tuha (iaitu tua).”

Dan beliau menyebut tentang adab dan kehebatan para penuntut dan ahli ilmu dalam perhatian beliau itu.Katanya:

“Dan adalah mereka itu di dalam tempat mengaji mereka itu zahir pada mereka itu baik perangai waqar (hebat, tenangt-p) dan haibat dan sakinah (tenang-p) dan sangat beradab antara mereka itu dan dengan guru mereka itu;apabila masuk seorang daripada mereka itu memberi salam ia serta dengan hening dan lemah lembut ti(ng)kah lakunya dan apabila dating guru-guru dan yang lebih-lebih (yaitu yan g mempunyaiu sifat-sifat utama dan kelebihan peribadinya-p) daripada mereka itu berdiri sekelian mereka itu memuliakan baginya…”

Beliau menyebut tentang bagaimana pada akhir tiap-tiap musim dalam setahun itu diadakan beberapa majlis dan diuji para pelajar tiap-tiap madrasah oleh para ulama yang terkenal dan hukama serta mereka yangt mempunyai kelebihan, dalam tiap-tiap Jumuaat.Ini melibatkan pembesar-pembesar negeri , wazir-wazir dengan majlis-majlis pula haibat dan indah , dengan itu terujilah kepandaian, kehandalan, kepitahan serta kemahiran para ahli ilmu.

Kemudian kata Syaikh Ahmad berkenaan negeri-negeri yang kuat dan maju kerana pemupukan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kekuatan intelektuil dan pemikiran serta teknologi dan pertahanan:

“Maka demikianlah me(ng)amat-amati ahli negeri orang (yaitu negeri selain daripada Dunia Melayu-p) dengan sya’n (atau kepentingan kedudukan-p) ilmu pada negeri mereka itu hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekelian bangsa dengan kepandaian dan bijaksana dan kepetehan dan banyak ilmu; maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah (yaitu membuat rekaan-p) buatkan beberapa alat yang (ber)menfaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri di dalam masa yang sedikit dan datan g kiepada mereka itu sekelian khabar-khabar daripada sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzah (atau saat-p) dan me(ng)indah-indah mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa dan dengan sebab baik percaraan (yaitu pengurusan-p) dan muafakat antara mereka itu (kesepaduan social-p) serta besar hemah (yaitu cita-citia mulia dan tinggi dengan tumpuan yang bulat-p) dan halus tipu daya (yaitu siasah untuk mencapai matlamat-p) dan jauh helah dan dalam tilik mereka itu (yaitu berfikir dengan teratur, jauh matlamat, focus yang jelas-p) yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran (dalam erti ilmu pengetahuan disiplin dan pendidikan-p) mereka itu; maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang dan meliputi mereka itu dengan hal ehwal dunia laut dan darat (yaitu pertahanan mereka meliputi semua; kalau sekarang boleh disebut ruang angkasa, pengawasan elektronik dan seterusnya-p…)

Kata beliau, berkenaan dengan kerisauannya berhubungan dengan negeri-negeri Melayu serta budaya ilmunya yang banyak kekurangan, dan kelemahannya dalam perkara demikian, serta cita-cita beliau yang mahu melihat Dunia Melayu ini menjadi kuat, mulia, penuh dengan kemahiran dan pengetahuan, supaya dengan itu agama menjadi mulia dan seteru memandang Islam dengan perasaan gerun dan hormat.Yang menariknya ialah beliau menyebut ilmu pengetahuan yang membawa kepada kekuatan siasah dan militari sebagai termasuk ke dalam perkara-perkara-perkara yang berkaitan dengan soal-soal besar dalam agama, bukan “secular”.Kata beliau:

“Dan adalah pada hati hamba yang fakir sehabis-habis risau dan dukacita dengan sebab ihmal (tidak mengambil berat-p) dan mensia-sia bangsa kita ahli tanah Melayu dan ahli segala tanah yang di bawah angin dan segala raja-raja mereka itu yang Muslimin yang dahulu-dahulu dan yang sekarang ini dan segala mereka yang kaya-kaya dan kemudahan daripada mereka itu tiada memperduli mereka itu akan umpama segala perkara yang tersebut itu hingga jadi kemudian daripada kemuliaan kita sekurang-kurang bangsa dengan dinisbahkan kepada segala bangsa yang lain dan hilang segala tempat kediaman kita dan kemegahan kita ; maka sekelian itu dengan sebab taksir(kecuaian-p) kita pada u(m)pama segala perkara itu dan sangka kita bahawasa(nya) sekelian demikian itu bukan daripada pekerjaan yang bergantung dengan agama kita; maka dengan sebab itulah kita biarkan dia pada hal jikalau kita tilik halus-halus nescaya adalah (itu semua-p) berambing (yaitu bersangkut paut –p) dengan segala perkara itu daripada sebesar-besar barang yang bergantung ia dengan agama kita, kerana dengan demikian itulah dapat kuat atas segala seteru dan kekerasan (maksudnya kekuatan-p) yang dengan dialah (ter)pelihara akan kemegahan agama kita dan yang menjadikan dia elok pada segala mata mereka itu, dan besar masyhur pada segala pendengaran mereka itu dan haibat pada segala hati mereka itu “ (Huruf tebal oleh penulis-p).

Kemudian beliau dengan harapan menggunung mahu melihat Dunia Melayu ini menjadi dunia yang melimpah dengan ilmu pengetahuan, kepandaian, dan kepakaran, sehinggakan bangsa Melayu ini, para penguasa, ilmiawan dan ulamanya mengatasi yang lain di dunia. Dan mereka semua mendapat pahala yang berkekalan dan negeri mereka terekenal dengan nama yang baik berserta dengan para pemimpin dan ulama serta mereka yang berjasa.Ini dari seorang ulama tradisional Sunni Dunia Melayu dalam abad ke-19.Kata Syaikh ini:

“Dan adalah hamba yang hakir (yaitu rendah mertabatnya, bahasa merendah diri dengan Tuhan dan manusia-p) bercita-cita di dalam hati sudah beberapa lama bahawasanya Allah Taala lagi akan memperdengarkan (kepada-p) hamba dan memperlihatkan (kepada-p) hamba di dalam masa hidup hamba ini bahawa adalah segala raja-raja Melayu (sekarang baca serta dengan para pemimpin mereka-p) yang besar-besar istimewa segala raja-raja di dalam Tanah Petani dan raja-raja Kelantan dan Terengganu dan Kedah yang amat mulia dan mahya besar sekeliannya dan raja Johor yang masyhur dengan besar himahnya danb raja Dali(Deli?-p) yang masyhur dengan murahnya dan adilnya menaruh mereka itu akan cemburu pada segala hati mereka itu dan membesarkan segala hemah (cita-cita tinggi dan mulia dengan tumpuannya yang berkesan-p) dan menghadapkan inayah (pertolongan dan jagaan-p) mereka itu dan menyungguh-nyungguh akan usaha mereka itu pada bahawa dijadikan segala negeri mereka itu (per)bendahraan ilmu danperladungan kepandaian dan membukakan segala mata anak jenis mereka itu (iaitu mereka di Dunia Melayu-p) kepada memandang cemerlang kebijakan dan handalan supaya ada kemegahan bangsa Melayu antara segala alam dan tertinggi nama mereka itu antara Bani Adam, dan bertambah-tambah kelebihan ‘ulama mereka itu atas segala ‘ulama dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama, serta dapat pula bagi segala hadrat raja-raja itu jikalau diperbuat demikian itu (yaitu membesarkan hemah, menumpukan cita pada menjayakan budaya ilmu, kepandaian dan kemahiran, menjadikan Dunia Melayu perbendahraan ilmu dan perladungan kepandaian-p) keredhaan daripada Allah Taala dan rasulNya yang mulia dan pahala yang amat besar berganda (?) kerana pahala tiap-tiap mereka yang dapat menafaat dengan segala perbuatan itu dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan (yaitu kebolehan-p) yang menirukan kebolehan itu terbahagi dengan mereka itu selama-lamanya, dan dapat pula bagi mereka itu sebutan yang baik dan kepujian yang elok atas lidah segala makhluk dan tersurat di dalam tarikh ‘ulama dan buku raja-raja yang ‘uzama’ (yaitu yang agung-p) yang berkekalan daripada masa hidup hingga (ke-p) Hari Kiamat”.(ibid. hlm. 22-23. Huruf tebal oleh penulis).

Dan kita boleh perhatikan lagi kenyataannya berkenaan dengan ilmu perubatan dan herba. Katanya dalam kitabnya Tayyibul-Ihsan fi Tibbi’l-Insan:

”(Ilmu Tibb) (atau Ilmu Perubatan-p) Menyerukan kami kepada menghimpunkan dia oleh bersangatan hajat jenis (atau bangsa-p) Melayu kepadanya ; dan banyak dharurat hal mereka itu kepada bicaranya kerana mengubati itu berturut-turut soal mereka itu daripadanya, serta tiada ada sekali-kali daripada mereka itu orang yang me(ng)amat-amati dengan dia; atas kanun yang mudawwan (atau kitab undang-undang perubatan yang tersusun dalam kitab-p) yang membawa kepada mengetahuinya yang mu’tabar yang boleh diperpegang akan dia pada hal ilmu tabib itu daripada sebesar-besar barang yang berhajat kepadanya tiap-tiap manusia sehingga jahil mereka itu akan barang yang melengkapi ia atasnya daripada beberapa banyak rahasia; dan seolah-olah ilmu ilmu tibb itu pada sisi mereka itu sesuatu yang sia-sia; maka meninggal mereka itu akan dia nasyan mansiyya (seperti barang yang tidak terpandang kerana tidak bergunanya-p); dan serta tiada ada pula bagi mereka itu sesuatu daripada kutub (plural bagi kitab-p) pada ini sina’ah (kemahiran-p) yang boleh diperpegang atasnya; dan dipercayakan dengan nakalnya (yaitu ambilan ilmunya-p) dan diambilkan dengan ibaratnya dan nasnya; …(kemudian kata beliau tentang kitabnya-p) Dan telah kami harap bahawa membukakan Allah akan hati seorang yang mempunyai hemah yang tinggi maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa pohon kayu dan tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan memeperiksakan yang demikian itu maka disuratkan beberapa faedahnya dan khasiatnya dan pangkat segala tabiatnya dan kaifiat isti’malnya (cara menggunakannya-p) seperti barang yang memperbuat demikian itu oleh hukama’ Yunani pada masa yang dahulu dengan beribu-ribu tahun ; kemudian mengambil daripada mereka itu oleh hukama’ Arab dengan hemah setengah daripada raja-raja anak Harun al-Rasyid , maka berkekalan menta’lif (yaitu mengarang kitab-p) mereka itu beberapa banyak karangan ; maka tercawang (yaitu menjadi banyak cawangan-cawangannya-p) daripada demikian itu hingga sekarang (abad ke 19 dan awal abad ke-20) ini tibb segala tabib Furs (Orang Parsi) dan Hind (yaitu India) kemudian beratus-ratus pada yang demikian itu oleh segala tabib Afranj (yaitu Bangsa Barat amnya-p) maka menambah merengkah (atau membuat rekaan-p)mereka itu beberapa banyak rengkahan (atau benda rekaan-p) yang ajib pada hal kita jenis Melayu aula (atau lebih patut melakukan yang demikian itu-p) dengan demikian itu dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita (hutan tropika kita-p) dan kita terlebih aula (atau terlebih berhak dan patut-p) pada (me)merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita ; maka bersangatanlah sayugia bagi raja-raja Melayu (sekarang dengtan para pemimpin yang ada-p) bahawa memalingkan hemah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut dengan menyungguh-nyungguh men yuruh dan menggemarkan manusia pada demikian itu dengan memudahkan jalan bagi demikian itu dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu maka dapat baginya pahala yang jazil (yang amat banyak-p) ; dan berkekalan baginya sebutan yang jamil (indah-p)…(Tayyibul-Ihsan fi Tibbil-Insan, edisi Wan Mohd Saghir Abdullah, Khazanah fattaniyyah, Kuala Lumpur, hlm.3-4).

Apa Yang Diperlukan:

· Antaranya ialah pengembalian semula kepada epistemology Sunni dalam hubungan dengan soal-soal tentang keTuhanan, Kenabikan, alam abadi dan segala perkara yang bertalian dengan “world-view” Islam Sunni yang baku, serta dengan pencarian kunci-kunci baharu dari perkembangan budaya dan intelektualiti semasa secara sahih dan tepat, bukan hanya sebagai pengikut budaya Barat secara “taklid” begitu sahaja; dengan itu berlakulah penegasan kembali kebenaran-kebenaran itu yang akan mengembalikan kebenaran itu kepada kedudukannya serta dengan penghayatannya dalam hidup manusia yang mempunyai keyakinan yang tinggi, yang disebutkan oleh alm Said Halim Pasha sebagai “deep hearted men of action”, insan intelektuil yang mendalam keimanannya serta yang berupa manusia yang beramal bukan hanya berbicara.Pengembalian semula kepada epistemology ini bukan sikap sectarian tetapi sikap kembali kepada Islam asal.

· Juga ini bermakna penegasan kembali iltizam intelektuil dan kerohanian terhadap ajaran Syariat dalam pembakuannya dalam aliran-aliran mazhab Sunni yang terkenal dengan fiqhnya oleh para mujtahid yang berjasa itu, dengan mengambil kira keperluan tambahan-tambahan dalam hubungan dengan masalah-masalah semasa tanpa terputus kesinambungan intelektuil yang ada dalam umat ini.Dan dalam rantau kita ini alirannya ialah mazhab Syafi’I dengan mengambil panduan dan menafaat dalam fiqh mazhab-mazhab lainnya dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah. Sikap ini akan menjamin kesahihan pegangan serta sifat homogen dalam memahami persoalan yang mjenjadi asas bagi pembangunan tamadun dan budaya di rantau ini.

· Dalam soal-soal spiritual dan moral panduan perlu diambil daripada wacana agung Sunni di dalam bidangnya, dengan mengambil kira apa-apa yang muktabar dalam bidangnya.Umpamanya panduan Imam al-Ghazali rd adalah diperlukan dalam bidang ini.

· Dalam soal ketamadunan, budaya, kemasyarakatan, falsafah sejarah, budaya ilmu dan pemikiran serta kesepaduan social umat, maka wacana baku Sunni yang memandu ialah al-Muqaddimah gubahan ibn Khaldun rh.Teks seminal dan luar biasa ini- yang disebut oleh Arnold Toynbee sebagai buku teragung dalam bidangnya, yang pernah diahasilkan oleh suatu akal manusia di mana-mana dan di zaman mana pun—perlu memandu manusia Dunia Melayu dalam pembinaan budaya, tamadun serta pemerkasaan budaya ilmu dan berfikir, disertakan dengan kekentalan keyakinan dan rasa harga diri.Dan oleh Jude Wanniski ia disifatkan sebagai kitab yang terletak dalam senarai lima buah kitab terpenting dalam seluruh sejarah dunia.Antara terpentingnya teks ini mengandungi teori tentang ‘asabiyah yang perlu digunakan bagi menjayakan perpaduan di Dunia Melayu ini, sebagai inti atau teras kepada kesepaduan dalam membina tamadun bersama dengan masyarakat madaninya di rantau ini.

· Dalam hubungan dengan ahli-ahli tamadun lain dan agama lainnya, maka umat Melayu Muslim perlu membuat persediaan untuk mengadakan dialog mesra dan beradab, dengan memahami kelainan-kelainan yang ada, dan persamaan-persamaan dalam nilai-nilai sarwajagat, demi untuk membina tamadun bersama dalam menghadapi penghakisan nilai dalam arus “mono-culture” dari Barat dalam zaman globalisasi yang sangat memprihatinkan.Dialog itu bukanlah berlaku dengan sikap yang kepura-puraan “liberal” mendatar, artificial, yang cetek, tetapi yang bersedia melihat adanya kelainan-kelainan dan juga persamaan-persamaan yang sahih, tepat, serta belajar hidup beradab dalam kelainan dan persamaan itu; ini berlaku pada zaman Nabi s.a.w. dalam perjanjian Madinah sebagaimana yang direkodkan oleh Ibn Ishaq rh.

· Untuk membuktikan Islam agama rahmat dan kasih saying serta persefahaman tidak perlu-dari segi intelektuilnya- diambil sikap “liberal” sampai melemparkan asas-asas agama yang sudah sepakat benarnya dalam umat, untuk menjayakan persamaan yang direka-reka secara artificial.Bentuk yang demikian tidak boleh bertahan sebab ia bukan ada asas yang teguh, dan bukan direstui oleh kerangka epistemology yang terhormat dan sahih.

Wallahu a’lam.

No comments: