Alangkah indahnya jika tatkala hati sudah terpikat, tiada halangan yang menuntut sebarang pengorbanan, semuanya umpama belayar di air yang tenang menuju ke muara. Mereka yang bercinta mengharapkan antara kau dan dia umpama sirih pulang ke gagang, bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan. Cerita hati bukan kisah yang ditulis mengikut plot yang pra-dipersetujui; cerita hati berkembang mengikut naluri; jatuhnya hati tanpa sebarang amaran, pengakhiran ceritanya tiada siapa yang tahu walaupun si empunya hati itu sendiri.
Hati terpaut seorang duda tidak bercahaya mata. Wajahnya tampan, kareer membanggakan tetapi dari awal hubungan dia telah jelaskan bahawa dia tidak mahukan sebarang ikatan. Mahu berpacaran tetapi tidak mahu perhubungan disahkan. Bingung dibuatnya kerana apabila hati sudah terpaut, penangan realiti bukan sukar untuk ditelan. Bukan mudah untuk meninggalkan jejaka yang telah disayangi, ingin meneruskan perhubungan, naluri tahu akan tiada kesudahan. Dilema menerjah jiwa lantas sukar untuk membuat keputusan. Jika diikutkan rasa, binasa; andai diturutkan hati, merana jiwa nanti. Bagaimana bertindak dalam situasi begini?
Romeo mati kerana Juliet, Cleopatra membunuh diri menyintai Anthony. Realitinya, kisah cinta sebenar tidak sedramatik pasangan-pasangan agung ini. Pengorbanan merupakan perkataan yang sering disebut tetapi bukan mudah untuk direalisasikan. Ingin menunggu dia sampai dia bersedia? Hingga bila? Jangan dihiraukan tentang sahnya perhubungan? Melanggar tatasusila bangsa dan agama. Seorang teruna terpaut hatinya dengan seorang gadis berlainan agama. Untuk bersama tiada siapa yang sanggup mengkhianati pegangan agama yang dianuti. Hati sudah begitu menyayangi namun realitinya menuntut perpisahan dan meremukkan hati.
Andai bertemu cinta penuh halangan, bagaimana harus kita berdepan dengan cabaran? Perlukah tabah mengharunginya atau tunduk mengalah melepaskan dia pergi dan merawat hati sendiri? Adakah di hadapan nanti ada insan lain yang lebih baik sedang menunggu untuk mendamaikan hati atau jiwa akan kosong tidak berpenghuni? Cekalkah hati untuk meneruskan kehidupan tanpa kehadiran insan yang telah menakluki hati ini?
Si dia telah berpunya, berkeluarga dan beranak dua. Perhatian yang diberikan kepadamu tidak berbelah bagi, kau dijaga bagai permata hatinya. Lantas, kau berlayar dalam gelora cinta yang cukup mengasyikkan. Namun, jauh di sudut hatimu kau tahu dia bukan milikmu. Realitinya kau sedar tempatmu hanya di pinggir hidupnya. Apakah kau pasrah dengan kisah cintamu yang tidak berkesudahan atau kau harus berdepan dengan realiti bahawa kau harus pergi.
Bukan mudah untuk memilih antara hati dan realiti, satu mengasyikkan dan satu lagi menyedarkan. Jika konflik hati dan realiti mendampingi, kuatkah dirimu untuk menanganinya?
Untuk Mu wanita
source by Scripters.ning admin..Ace & Ahmad Saiful
post by = M.ilyasak
No comments:
Post a Comment